FOTO

FOTO
Klik Sini untuk info lanjut

Sabtu, 17 Januari 2015

DERITA HATI BONDA

PERUTUSAN PENULIS


Assalammualikum Warahmatullahi Wabarakatuh pembaca semua.

Cerita ini berdasarkan kisah benar. Saya diminta oleh seorang ibu yang sudah lanjut usia untuk menulis kisah sedihnya sebelum dirinya dijemput Ilahi. Pada mulanya saya memang keberatan kerana saya bukanlah penulis. Saya juga tidak mahu ketika saya melayan keghairahan saya waktu menulis cerita ini mungkin saya akan terleka lalu dianggap mencemar perasaan ibu ini. Lama juga saya ambil masa untuk memulakan ayat pertama cerita ini. Oleh kerana ceritanya boleh jadi pengajaran pada kita semua, maka saya olah cerita ini berdasarkan pengalamannya dan menambah mana yang saya rasa perlu tanpa mendedahkan seluruh identiti sebenar watak-watak di dalam cerita ini dan menggunakan nama samaran. Saya terpaksa menambah sedikit isi supaya cerita ini boleh memberi kesan yang mendalam kepada setiap jiwa yang membacanya. Mohon jangan tanya saya siapa mereka. Moga apa yang saya tuliskan selepas ini akan memberi manfaat dan pengajaran buat kita semua.







DERITA HATI BONDA
Olahan cerita : Inarz

Sebelum ini saban hari Mak Ziah duduk di sofa bukan untuk apa-apa hanya merenung jauh ke luar jendela. Sesekali Mak Ziah menjengah ke luar pintu pagar rumahnya apabila setiap kali enjin kereta berhenti. Perasaan hampa sentiasa menyelubungi jiwa Mak Ziah apabila kereta tersebut tidak berhenti di hadapan rumahnya.  Mak Ziah menantikan Sarimah anak perempuan kesayangannya. Sejak pemergian  Pak Dani dua tahun yang lalu, belum ada lagi Sarimah menjenguknya. Hati Mak Ziah tertanya-tanya apa salah dirinya. Dia rindu untuk memandang wajah anaknya yang seorang itu, dia rindu untuk bermain dengan cucunya walaupun anak-anak dan cucu-cucunya yang lain sering datang menjenguk namun perasaan rindunya tidak sama. Hari-hari sebelum ini pun Mak Ziah setia menunggu kepulangan anak kesayangannya itu. Kadang-kadang tergerak di hati Mak Ziah untuk menghubungi Sarimah namun panggilannya tidak satu pun dijawab oleh Sarimah mahupun cucunya. Namun itu semua hanyalah tinggal harapan, Harapan yang mungkin susah untuk digapai lagi.

Sekarang hati Mak Ziah sudah hancur dan kecewa dengan perbuatan Sarimah. Mak Ziah tidak mahu lagi merenung ke luar jendela. Tidak mahu lagi mengharap. Tidak mahu parut berdarah kembali. Hari-hari yang terluangnya kini hanya duduk di sejadah membaca Al Quran untuk arwah suaminya. Mak Ziah mahu buang jauh-jauh kenangannya dengan Sarimah. Kalau boleh Mak Ziah tidak mahu ingat lagi tentang Sarimah. Tetapi apakan daya Mak Ziah, hati seorang ibu. Nalurinya terlalu kuat untuk ditegah. Mak Ziah tetap ingin mengetahui keadaan anaknya Sarimah.  Walaupun hatinya telah dikecewakan. Bila terasa rindu Mak Ziah cuba menelefon majikan Sarimah untuk bertanyakan khabar. Pernah juga Sarimah bertukar tempat kerja. Mak Ziah hilang arah. Ke manakah dia boleh dapatkan berita tentang Sarimah lagi. Di manakah anaknya itu tinggal setelah bertukar. Mak Ziah cuba juga mendapatkan maklumat dari majikan lama Sarimah. Mak Ziah meraih simpati majikan lama Sarimah agar dapat memberikan alamat baru tempat kerja sarimah. Sarimah tidak pernah tahu itu. Mak Ziah mohon majikan Sarimah agar merahsiakan setiap patah perbualan mereka. Mak Ziah hanya ingin tahu. Mak Ziah hanya perlu tahu. Mak Ziah rasa lega walaupun hanya dapat mendengar cerita dari majikan Sarimah. Itu sudah memadai bagi dirinya. Mana mungkin seorang ibu melupakan anaknya, Mana mungkin hati seorang ibu mahu melihat anaknya derita, Mana mungkin hati seorang ibu melihat hidup anaknya terseksa. Mana mungkin seorang ibu membuang anaknya. Tetapi Sarimah tidak tahu itu semua. Mungkin Sarimah tidak mahu tahu lagi tentang dirinya. 

Dahulu Mak Ziah selalu berdoa akan kesejahteraan Sarimah supaya Sarimah berjaya dalam pelajarannya dan mendapat pekerjaan yang baik. Harapan Mak Ziah agar Sarimah boleh mengubah nasib keluarga. Hanya dia yang pandai dalam pelajaran dari adik beradik lelakinya yang lain. Hanya dia yang belajar tinggi hingga menggulung ijazah dan berjaya mendapat pekerjaan yang baik. Namun sejak akhir-akhir ini, harapan itu telah terpadam dari hati Mak Ziah. Mungkin harapan itu akan di bawa hingga ke liang lahad. Mungkin Sarimah tidak pernah peduli itu semua. Tidak pernah kenang susah payah Mak Ziah dan Pak Dani menghantar Sarimah belajar tinggi walaupun terpaksa berada dalam kesusahan dan kelaparan. Untuk Sarimah, Mak Ziah dan Pak Dani sanggup berhabis duit. Sanggup menderita kerana Sarimah. Adik beradik yang lain juga memberi laluan itu agar hasrat Mak Ziah dan Pak Dani tercapai. Namun apalah nasib seorang ibu seperti Mak Ziah.

Mak Ziah seolah-olah sudah berputus asa untuk mengharapkan kasih sayang seorang anak yang selama ini boleh dibanggakan. Tiada apa yang perlu dibanggakan lagi olehnya kerana kini Mak Ziah tidak lagi tinggal di rumah peninggalan arwah suaminya setelah dia dan Syahir iaitu abang Sarimah yang tinggal bersama Mak Ziah terpaksa keluar dari rumah tersebut kerana suami Sarimah telah menjualkannya kepada orang lain. Itupun setelah Mak Ziah dan Syahir didatangi sepasangan suami isteri yang mengaku bahawa mereka telah membeli rumah tersebut dan mereka sudah membuat bayaran penuh kepada suami Sarimah. Mak Ziah bagai tidak percaya  mendengar kata-kata pasangan tersebut dan memaklumkan dia adalah ibu kandung Sarimah masakan Sarimah sanggup buat dia begitu tanpa berbincang terlebih dahulu. Pasangan tersebut sangat terkejut kerana mereka tidak menyangka bahawa rumah itu didiami oleh ibu dan abang Sarimah sendiri. Namun apalah yang pasangan itu boleh buat lagi kerana semua proses pembelian telah selesai sepenuhnya. Pasangan tersebut hanya mampu memanjangkan tempoh untuk Mak Ziah dan Syahir berpindah keluar. Apa yang lebih mengecewakan Mak Ziah apabila Syahir menerima sepucuk surat arahan dari peguam 2 minggu selepas itu. Surat dari peguam yang dilantik oleh suami Sarimah mengarahkan supaya Mak Ziah dan Syahir segera berpindah keluar jika ingkar mereka akan dikenakan tindakan undang-undang. Surat peguam itu juga menyatakan bahawa rumah tersebut telah dijual kepada pemilik lain dan mereka berdua hendaklah berpindah keluar dalam tempoh 2 minggu sahaja dari tarikh surat tersebut diterima. Maka memang benarlah rumah yang didiami selama puluhan tahun telah dijual oleh anak menantunya sendiri.

Sangat kejam. Terasa gugur jantung Mak Ziah dan berkecai harapannya. Sampai hati Sarimah dan menantunya memperlakukan dia begitu rupa. Mak Ziah terasa dirinya dihina oleh anak sendiri. Apalah lagi yang ada di dalam hati Mak Ziah terhadap Sarimah dan menantunya. Dahulu Sarimah beria benar mengatakan kepada Mak Ziah dan Pak Dani untuk tinggal sahaja di rumah tersebut walaupun suaminya telah membeli rumah tersebut dari Pak Dani dan adik beradik yang lain. Sarimah mahu Mak Ziah dan Pak Dani tinggal rumah tersebut sementara menunggu Sarimah bersara dan mereka boleh tinggal bersama di rumah itu nanti. Mak Ziah sungguh gembira ketika itu. Pak Dani lega kerena masalah rumah tersebut telah diselesaikan oleh Sarimah dan suaminya. Mereka merasakan bahawa Sarimah telah memenuhi harapan sebagai anak dan mengenang jasa kedua orang tuanya. Anak perempuan kesayangan mereka berdua. Itulah perasaan yang mereka rasa ketika itu. Namun kini...

Kalaulah bukan kerana kesempitan kewangan Syahir pada satu ketika dahulu, rumah tersebut tidak akan dijual kepada suami Sarimah,  Itu pun kerana Sarimah gagal menguruskan pembelian rumah tersebut ke atas namanya. Maka untuk mengelakkan rumah tersebut dilelong oleh bank, Sarimah menggunakan nama suaminya sebagai pembeli dan membuat pinjaman kerajaan suaminya. Sebelum ini rumah tersebut adalah rumah yang dibeli oleh Pak Dani bersama 4 orang lagi anak-anaknya sebagai pemilik termasuklah nama Sarimah manakala hutang bank dibayar oleh Syahir sejak rumah tersebut di beli. Namun apabila Syahir mengalami masalah dengan pendapatannya, maka Syahir, Mak Ziah dan Pak Dani meminta Shah adik bongsunya bersama isterinya Zaida tinggal bersama mereka dan membantu untuk membayar hutang rumah tersebut kepada bank memandangkan pendapatan Zaida lebih tinggi dan mampu menanggung pembayaran rumah tersebut kepada bank. Bukan semudah itu Zaida menerima permintaan suaminya Shah. Zaida telah memikirkan semasak-masaknya sebelum bersetuju.

Bagi Zaida, permintaan keluarga mertuanya sukar untuk ditolak kerana melibatkan keluarga suaminya walaupun pada masa itu ayah Zaida telah menasihati Zaida. Ayah Zaida Khuatir akan timbul masalah memandangkan Zaida dan Shah baru sahaja mendirikan rumahtangga. Sebelum berkahwin dengan Shah, Zaida tinggal di sebuah rumah yang disewa oleh Zaida sebelum mereka berkahwin lagi. Setelah berkahwin, Zaida dan Shah tinggal di rumah tersebut sehinggalah Syahir, Mak Ziah dan Pak Dani meminta mereka berdua tinggal bersama-sama dari membazirkan wang untuk menyewa rumah lain sedangkan jarak antara rumah mereka tidak jauh. Setidak-tidaknya dapat membantu abang iparnya Syahir membayar hutang rumah tersebut. Apalah yang zaida boleh katakan apabila suaminya meminta pertolongan. Zaida redha dengan keputusan suami dan mereka berdua tinggal bersama-sama di rumah tersebut. Sejak itu Zaida membantu menyelesaikan sebahagian besar bayaran bulanan rumah tersebut termasuklah sebahagian dari bayaran cukai tanah, cukai pintu, bil elektrik dan bil air yang telah lama tertunggak juga perbelanjaan dapur. Manakala abang iparnya mengeluarkan sebahagian kecil bayaran yang selebihnya. Zaida menolong dengan ikhlas kerana ketika itu keluarga suaminya dalam kesusahan. Tetapi Sarimah tidak pernah dapat menghulurkan bantuan kerana Sarimah sering mengatakan pendapatan mereka berdua suami isteri juga tidak mencukupi sehingga ke hujung bulan, Sampai ke satu tahap syahir membuka suara supaya Zaida terus membeli rumah tersebut demi menyelamatkannya dari di lelong. Oleh sebab itu Sarimah sangat marah. Zaida dan Shah menjadi mangsa keadaan.

“Kau saja nak dengki dengan aku kan?”. Sarimah menempelak Shah dari corong telifon.
“Apahal pulak ni nak marah-marah orang tak tentu pasal! Bagi salam pun tidak”, Shah rasa tercabar dengan kata-kata Sarimah.
“Macam mana pulak boleh Zaida setuju nak beli rumah tu, kan dah tau aku yang nak beli rumah tu”.
“Aku mana tau, Syahir cakap, mak dengan abah pun setuju. Dia ikut lah, kalau betul kau nak beli kenapa kau tak beli-beli lagi sampai bank nak ambik balik. Kau nak mak dengan abah merempat ke?”.
“Ah tak guna cakap dengan kau ni”. Sarimah memutuskan talian.
“Kenapa bang?”. Zaida bertanya kepada Shah. Hati Zaida risau dengan pertelingkahan Shah dan Kakaknya.
“Entah!”. Jawab Shah pendek.

Shah tidak mahu memanjangkan lagi perbualan tersebut. Shah jenis kurang sabar. Jika dia sudah tidak boleh menahan sabarnya, dia tidak kira lagi dengan siapa dia bercakap walaupun dengan kakaknya sendiri. Sarimah pula, apabila dapat tahu sahaja bahawa mereka ingin menjual rumah tersebut kepada Zaida, Tanpa usul periksa, Sarimah terus menelifon Shah dan memarahi Shah serta menuduh Shah dan Zaida macam-macam. Ketika itu Shah sedang menjaga Zaida yang terlantar sakit di Hospital. Zaida mendapat sakit kerana terlalu kuat bekerja sehingga mengabaikan kesihatannya sendiri. Walaupun Shah yang menerima panggilan telifon dari Sarimah tetapi Sarimah tidak terus bercakap kepada Zaida. Namun Zaida dapat mendengar segala kata-kata keji dan tohmahan Sarimah kepada Shah. Zaida kecewa kerana Sarimah membuat andainya sendiri tanpa mendengar cerita sebenar. Zaida tidak mengharapkan pujian dari Sarimah tetapi bukanlah kejian dan cacian yang sepatutnya keluar dari mulut Sarimah, Segala kebaikkan yang Zaida berikan disalah erti oleh Sarimah. Sarimah pula tidak mahu mendengar sebarang penjelasan pun. Sarimah hanya tahu menuduh Zaida telah mencuri kasih sayang Mak Ziah dan Pak Dani darinya. Sarimah menuduh Zaida memberi ubat guna-guna kepada Mak Ziah dan Pak Dani supaya menurut segala kata-kata Zaida. Zaida sedih dan terkilan dengan kata-kata Sarimah. Zaida tidak menyangka apa yang selama ini dikhuatiri oleh ayahnya menjadi kenyataan. Apalah yang Zaida telah buat sehingga Sarimah benci sangat kepadanya. Kasih sayang yang dicurahkan kepada kedua mertuanya ikhlas. Walaupun ketika itu Ibu Zaida sedang sakit di kampung dan sangat memerlukan perhatian. Namun begitu ibunya faham keadaan Zaida yang tinggal dengan mertua.

Zaida jarang dapat balik ke kampung kerana tuntutan kerja. Apa yang boleh Zaida buat hanyalah dapat balik sekejap dan menghulurkan wang untuk perbelanjaan keluarga di kampung. Zaida terima dengan redha atas segala ketentuannya. Shah pula memang suami yang baik. Apabila Sarimah menuduh Zaida memberi ubat guna-guna, Shah tetap mempertahankan isterinya kerana Zaida adalah yang terbaik untuk dirinya. Zaida tidak perlu semua perbuatan keji tersebut. Zaida juga tahu hukum hakam agama. Zaida tidak akan melakukan perkara keji tersebut semata-mata untuk meraih kasih sayang darinya. Lagipun tiada keuntungan kepada Zaida pun. Zaida memiliki segala kasih sayang dari suaminya dan juga dari seluruh ahli keluarganya di kampung. Shah sangat terhutang budi kepada Zaida kerana Zaida sanggup membantu keluarganya tatkala rumah ayahnya hampir diambil balik oleh pihak bank. Shah juga tahu Zaida isteri yang baik dan taat sehingga sanggup tinggal bersama orang tuanya tanpa memikirkan risiko lain. Oleh kerana cemburu dan iri hati yang menebal, Sarimah mengeji Zaida sebegitu rupa, Shah mengambil tanggungjawab untuk mempertahankan isterinya.         

“Orang ni anak mak bukannya Zaida, dia menantu mak aje! Mak pilih kasih, mak lebih sayangkan dia dari orang”.
“Mana ada mak pilih kasih mah, memanglah Zaida tu menantu mak. Dia dengan Shah yang duduk sini. Sakit pening mak dia juga yang jaga. Engkau jauh kat sana, jarang dapat balik jenguk mak. Kalau mak tak telifon tak adalah engkau nak tanya khabar mak ni”.
“Balik-balik Itu je yang mak cakap. Mak tau kan orang sibuk, mana sempat nak telifon mak hari-hari. Nak balik tiap-tiap minggu bukannya dekat. Kalau orang dekat dengan mak, orang pun boleh jaga mak lebih baik dari Zaida tu. Orang taulah tu tapi tak payahlah mak sayangkan dia lebih-lebih”.
“Tak ada lebihya sayang mak pada dia, tak ada kurangnya sayang mak pada kau, sama macam dulu juga”.
“Orang ni nampak mak. Shah pun satu, duduk sama dengan mak kenapa? Kan ke Zaida dah ada rumah sewa sebelum nikah dulu. Duduk je lah rumah sewa tu. Saja nak susahkan mak”.
“Mak dengan abah yang suruh. Abang Syahir kau dah tak sanggup nak hadap seorang bayar duit rumah ni dekat bank. Gaji dia dah tak cukup nak tampung lagi jadi Zaida sahaja yang boleh tolong bayarkan. Engkau dengan yang lain tak pernah hulur duit sikit pun tolong bayar hutang rumah ni. Kalau tak bayar nanti rumah ni kena lelong pulak mana mak dengan abah nak duduk”.
“Habis macam mana pulak sampai Zaida nak beli rumah tu. Kalau nak tolong bayarkan, tolong aje lah tak payahlah sampai nak beli rumah tu. Kan orang dah cakap orang yang nak ambik rumah tu. Tunggulah gaji orang naik sikit baru orang ambik rumah tu. Shah tu pun saja nak dengki dengan akak sendiri. Adik tak kenang budi”. Bentak Sarimah.
“Bukan Zaida yang nak beli tapi Abang kau, Mak dengan abah yang suruh ambil alih rumah ni. Memanglah Abang tau engkau yang nak ambil alih rumah ni tapi dah lama dia tunggu kau tak juga uruskan sampai dia dah tak sanggup lagi nak membayar rumah ni sorang-sorang. Kalau gaji dia macam dulu dia tak kisah tapi gaji dia dah tinggal sikit. Dia dah banyak kali cakap bila lagi kau nak uruskan. Engkau pun tak cakap apa-apa dengan dia. Jadi dia anggap kau tak jadi nak ambil alih rumah ni”.
“Dia yang tak sabar. Orang dah kata nanti orang uruskan. Tunggu je lah”.
“Berapa lama lagi nak kena tunggu, kalau rumah ni kena lelong mana mak dengan abah nak duduk”.
“Alah semua alasan bank je mak, orang taulah macam mana nak uruskan nanti. Orang lagi takut bila Zaida beli rumah tu nanti, dia mak dengan abah keluar dari rumah ni nanti. Masa tu baru mak tau. Mak nak duduk mana nanti?”.

Terngiang-ngiang dalam kotak fikiran Mak Ziah tentang kata-kata Sarimah. Dia tidak menyangka akhirnya kata-kata yang Sarimah ucapkan telah di balikkan kepada Sarimah Semua. Sarimah yang halau dia keluar dari rumah tersebut. Walaupun dari zahirnya Sarimah tidak pernah menyebutnya secara terang terangan tetapi dari surat yang peguam hantar kepada Syahir menyatakan segalanya. Apalah gunanya Sarimah belajar tinggi dan kerja bagus. Apalah gunanya lagi harapan Mak Ziah kepada Sarimah. Mak Ziah kecewa dan terkilan dengan Sarimah. Sekarang dia juga yang buat perkara yang Zaida tidak pernah terfikir melakukannya. Halau dia keluar dari rumah yang menjadi kenangan bersama arwah suaminya Pak Dani.

“Tak kan berani dia nak balik sini lagi mak, tak usahlah kenang-kenang lagi Sarimah tu. Sekarang ni orang fikir orang kena beli rumah lain. Masa dah tak banyak lagi dah ni. Rasanya minggu depan kita kena juga pindah ke rumah Syaril dulu sementara orang uruskan beli rumah lain”. Kata-kata Syahir mematahkan lamunan Mak Ziah.
“Ikutlah kau lah Syahir, mana anak yang nak jaga mak nanti mak duduklah sana”.

‘Bila orang dah dapat beli rumah orang sendiri nanti, mak duduklah dengan orang balik mak. Kalau sesekali mak nak duduk rumah Shah ke rumah Syaril ke, mak pergilah. Orang tak kisah. Nanti orang dapat beli rumah dulu mak. Gaji orang sekarang pun dah cukup nak beli rumah. Orang tak nak beritahu Sarimah kat mana rumah orang tu mak. Orang tak bagi Sarimah jejak rumah orang. Pandai-pandai Sarimahlah mana nak cari mak lepas ni. Itupun kalau dia masih ingat yang dia ada mak lagi. Itupun Kalau dia ingat nak cari mak”.

Mak Ziah diam seketika menahan sedih. Tiada apa yang dia mahu lagi kecuali bersama arwah suaminya. Mak Ziah akan menghabiskan masanya beribadah sehingga saat nyawa dijemput Pencipta.
“Kalau apa-apa terjadi pada mak, mak sakit ke mak mati ke tak payahlah bagi tau pada Sarimah dah. Biarkanlah dia. Mak tak nak dia tengok mak. Dia pun dah senang dengan suaminya. Nak buat apa nak ingat pada mak yang dah tua yang selalu menyusahkan ni”. Akhirnya Mak Ziah bersuara. Tutur kata Mak Ziah diiringi rasa pilu dan sebak. Perasaan kecewa dan terkilan yang amat sangat menyelubungi seluruh jiwa Mak Ziah. Inilah pesanan Mak Ziah kepada anak menantunya yang lain untuk Sarimah. Bagaimanalah Sarimah jika dia tahu bahawa akhirnya inilah ucapan yang keluar dari mulut ibu yang mengandungkan dan melahirkannya. Walaupun syurga seorang isteri pada suami namun apalah gunanya menjadi seorang anak jika beginilah ucapan yang terpaksa diluahkan oleh seorang ibu. Luahan ibu yang tidak mungkin meredakan penyesalan sepanjang hidup Sarimah.


Sabtu, 6 Disember 2014

KEMASKINI BR1M 2015 DAN DAFTAR ONLINE


Klik web kumpul duit Online SINI



Di sini saya sertakan link bagi web ebr1m...
bagi anda yang masih layak menerima dan memohon sila klik laman webdi bawah dan anda akandi bawa ke laman ebr1m.


Klik Laman di sini     ebr1m

JIKA ANDA TIDAK MEMPUNYAI AKAUN BANK ANDA TIDAK BOLEH KEMASKINI SECARA ONLINE.....

KEMASKINI DARI 1 DISEMBER 2014 HINGGA 31 DISEMBER 2014 SAHAJA.

SEBELUM ITU... tips dari saya...


Ramai yang tidak pasti bagaimana unutk memasuki borang anda sendiri menyebabkan akuan anda di BLOCK.... ok saya bagi tips skit.

KEMASKINI BRIM 2015

1.  Klik pada KEMAS KINI PERMOHONAN MASUK KE ebr1m

2. Masukkan No MY Kad / IC anda dan klik KEMAS KINI PERMOHONAN

3. Skrin akan papar Soalan yg akan menanyakan soalan-soalan yang berkaitan dengan data yang telah anda tulis semasa permohonan dahulu. Ini hanyalah soalan keselamatan untuk mengelakkan orang ketiga dapat masuk ke borang anda.

4. JANGAN JAWAB SOALAN TERSEBUT JIKA ANDA TIDAK PASTI. ANDA HENDAKLAH TERUS KLIK PADA TUKAR SOALAN. Jika anda salah menjawab soalan tersebut anda akan diberi peluang untuk jawab soalan tersebut sebanyak 2 kali lagi. SEKALI LAGI JIKA ANDA TIDAK PASTI JANGAN JAWAB SOALAN TERSEBUT. JIKA ANDA MENJAWAB SEHINGGA 3 KALI AKAUN ANDA AKAN DI BLOK. SILA KLIK TUKAR SOALAN.


5. CARILAH SOALAN YANG MUDAH ANDA JAWAB DAN YANG ANDA INGAT. seperti :

a) Bandar yang anda daftarkan
b) Poskod yang anda daftarkan.
c) No Mykad pasangan anda.

Soalan yang mudah......

Soalannya hanyalah berkisar kepada data peribadi yang telah anda tulis di dalam borang permohonan anda yang terdahulu.

6. Apabila anda dapat masuk ke borang anda ... sila kemaskini semua maklumat yang terkini jika tiada anda perubahan anda beralih ke Bahagian C iaitu ruangan WARIS untuk Khairat Kematian ruangan ini WAJIB di isi jika pemohon adalah pemohon berkeluarga dan ada tangungan atau warga emas.

7. Langkah terakhir sila masukkan No, Kod keselamatan yang di paparkan secara kabur yang terdapat ruangan kiri bawah sekali untuk mengesahkan anda bukan robot. KLIK KEMASKINI tunggu hingga paparan seterusnya tandakan SETUJU kemudian HANTAR. tunggu sehingga paparan mengatakan KEMASKINI BERJAYA. ANDA BOLEH CETAK BORANG ANDA JIKA PERLU. MASUK KE ebr1m

8. Anda boleh semak permohonan anda di butang SEMAKAN STATUS.

9. Jika berlaku akaun anda telah di BLOCK oleh sistem anda tidak boleh lagi melihat borang anda dan urusan seterusnya anda hendaklah muat turun Borang BR1M 2015 dari web ebr1m dankemukakan ke pejabat LHDN yang berhanpiran atau di pejabat-pejabat Kerajaan yang telah dilantik seperti PEJABAT DAERAH DI KAWASAN ANDA. Borang juga ada di edar disana.


HARAP TIPS-TIPS INI DAPAT MEMBANTU ANDA.

Sabtu, 21 Disember 2013

PUTERI BONGSU DAN JELMAAN HANTU PAKU - BAB 2

Klik web dan terima duit dengan login ke


Assalammualaikum kepada semua pembaca yang budiman,


Saya kira sudah pasti anda tertunggu-tunggu kemunculan cerita Puteri Bongsu dan Jelmaan Hantu Paku Bab 2 di dalam blog ini. Terima kasih saya kerana anda sabar menantikan sambungan cerita ini. Terlebih dahulu saya mohon maaf kerana membuat semua pembaca menunggu lama untuk mengetahui apa kesudahan cerita pengembaraan Puteri Bongsu dan Jelmaan Hantu Paku ini. Oleh yang demikian, saya persembahkan sambungan cerita dari Bab 1 yang terdahulu khas untuk anda semua. Semoga sambungan cerita ini dapat memberi keceriaan kepada semua pembaca....



PUTERI BONGSU DAN JELMAAN HANTU PAKU


BAB 2 



 Olahan : Inarz 

                    


                          Pemergian Puteri Nilam Bongsu berhijrah ke Negeri Seberang Lautan iaitu Negeri Lindungan telah menjadi buah mulut rakyat jelata dan ditangisi kerana mereka tidak akan dapat lagi melihat Tengku Nilam Bongsu yang baik hati lagi cantik hadir ke tempat mereka. Maka berduyun-duyunlah rakyat jelata datang untuk melihat puteri kesayangan mereka buat kali terakhir. Rakyat jelata tidak mahu melepaskan peluang untuk bersalaman dan memeluk Tengku Nilam Bongsu. Pemergian Tengku Nilam Bongsu ditangisi rakyat jelata seperti Tengku Nilam Bongsu tidak akan balik semula ke negeri itu. Rakyat juga sedar Negeri Raja Noman bukanlah satu negeri yang hampir dengan negeri mereka. Namun bagi puteri-puteri yang berenam, mereka amat gembira atas kejayaan menyingkirkan Tengku Nilam Bongsu dari baginda Sultan dan jauh dari pandangan mereka. Dalam fikiran mereka Tengku Nilam Bongsu akan mati karam di tengah lautan sebelum sampai ke Negeri Raja Noman. Begitu kejam perasaan mereka berenam, bukan sahaja ingin menyingkirkan Tengku Nilam Bongsu dari hidup mereka malah akan lebih senang hati jika Tengku Nilam Bongsu hilang di dunia ini. Begitulah bencinya mereka kepada Tengku Nilam Bongsu sehingga menghukum dalam diam walhal Tengku Nilam Bongsu tidak pernah berbuat salah kepada mereka berenam.
                   Setelah bersalaman dan berpelukan bersama ayahanda dan bonda, tibalah masanya Tengku Nilam Bongsu melangkah naik ke kapal untuk memulakan pelayaran. Walaupun sedih di hati namun Tengku Nilam Bongsu nekad untuk meneruskannya. Demi Ayahanda Bonda serta rakyat jelata Tengku Nilam Bongsu sanggup pertaruhkan hidupnya bersama orang yang belum lagi dikenali. Tengku Nilam Bongsu berlayarlah seorang diri tanpa rasa takut. Dia bertekad untuk hadapi apa sahaja cabaran yang akan datang sepanjang dalam pelayaran menuju ke Negeri Raja Noman. Untuk menghilangkan rasa kesunyian dia menyanyi dengan suara yang merdu mengalunkan lagu rindu.

”Diri-diri atas jambatan
Hendak melihat pelampung hanyut
Orang di sini dalam kerinduan 
mengenang-ngenang orang yang jauh”.

Apabila habis sahaja menyanyi, tiba-tiba kapal Tengku Nilam Bongsu meluncur lebih laju  membelah lautan. Tengku Nilam Bongsu sangat terkejut dengan keajaiban tersebut. Dia berhenti mengalunkan lagu tersebut seketika untuk meneliti pergerakan kapalnya adakah satu kebetulan atau keajaiban. Tidak semena-mena kapalnya terhenti dengan tiba-tiba dan meluncur seperti sedia kala mengikut tiupan angin dan layar. Unutk memastikan perkara tersebut, Tengku Nilam Bongsu mengalunkan semula lagu yang dinyanyikan tadi dan benarlah bahawa kapalnya menjadi lebih laju apabila dia mengalun lagu. Pada awalnya Tengku Nilam Bongsu gementar namun selepas beberapa ketika perkara yang tidak diingini berlaku membuatkan hatinya gembira. Tengku Nilam Bongsu akhirnya dapat menyesuaikan diri dan dia amat selesa dengan keadaan itu. Setelah jauh berlayar nyanyian Tengku Nilam Bongsu terhenti kerana dia melihat sesuatu yang jarang-jarang ditemui di negerinya. Kapalnya juga berhenti belayar seolah-olah tahu apa yang berlaku. Dari jauh pandangan Tengku Nilam Bongsu terarah kepada sekelompok tumbuhan yang menghijau. Hati Tengku Nilam Bongsu terdetik untuk mendekatinya dan barulah dia tahu bahawa tumbuhan tersebut adalah pucuk paku. Semakin dekat semakin takjub dia melihat pucuk paku tersebut tumbuh subur menghijau dan segar saujana mata memandang hingga ke pintu gua sehingga membuatkan Tengku Nilam Bongsu terlupa akan pesan Bondanya supaya jangan sesekali menghampiri kawasan tersebut apatah lagi memetik batang pucuk paku yang ada di situ.
                                                                             
Tengku Nilam Bongsu tidak sedar bahawa kehadirannya diintip dan telah diketahui lebih awal lagi sejak terdengar kemerduan nyanyian Tengku Nilam Bongsu. Gerak geri Tengku Nilam Bongsu diperhatikan. Gua tersebut didiami oleh Jin yang ditugaskan untuk menjaga sayur pucuk paku yang tumbuh meliar. Penduduk di situ menggelarkan mereka sebagai Hantu Paku. Hantu Paku tersebut berpasangan dan telah lama mendiami gua itu sehingga mempunyai anak yang ramai. Hantu-hantu paku itu tidak pernah meninggalkan gua tersebut walaupun sehari kerana tugas mereka adalah untuk menjaga pucuk paku yg ada di situ. Pun begitu anak sulong Hantu Paku tersebut tidak suka dengan kehidupan yang suram dan gelap di gua. Dia ingin hidup bebas seperti manusia. Dia sentiasa menantikan peluang untuk keluar dari tempat itu dengan cara mengikut orang yang datang memetik pucuk paku di situ. Namun tiada sesiapa pun sudi memetik pucuk paku di situ walaupun pucuk paku tumbuh subur kerana penduduk berhampiran sudah tahu tempat itu berpenunggu. Namun tidak bagi Tengku Nilam Bongsu. Dia tidak tahu tempat itu dijaga.
Oleh kerana perbualan hantu paku ini dalam dailek sengau dan sukar difahami maka penulis telah menterjemahkannya dalam bahasa yang boleh difahami pembaca. Jadi terpulang kepada pembaca untuk membacanya dalam dailek biasa atau dailek sengau.
”Oi..emaknya! Ada orang berhentikan kapal di sini nampaknya. Dah lama kita tidak tengok orang berhentikan kapal di sini”. Kata hantu paku tua jantan kepada hantu paku tua betina.
”Ye ke bang, harap-harap dia petik pucuk paku tu. Nanti bolehlah kita makan dia.
“Jangan mak aku nak ikut dia naik ke kapalnya. Aku nak keluar dari tempat yang suram ni”. Kata anak sulong hantu paku. Hantu paku tua jantan tersentak.
“Eh!, kenapa pulak engkau hendak mengikutnya. Engkau sepatutnya warisi tugas aku untuk menjaga pucuk-pucuk paku yang ada di sini. Memang dah itu tugas keturunan kita. Kalau kita engkar padah menimpa kita sekeluarga”. Tempelak hantu paku tua jantan dengan bengisnya.
“Buat apa duduk di sini sampai ke tua. Tak ada apa yang bolah aku cari di sini. Kalau aku keluar dari tempat ni aku nak hidup senang kaya raya dan Khawin dengan anak raja”. Anak sulong hantu paku membentak dan beragan.
“Engkau tau tak apa yang engkau cakap kan ni?”. Hantu paku tua jantan bertambah marah kepada anak sulongnya.
“Anak kita yang lain kan ada lagi bang! Kesian pulak saya tengok hari-hari menunggu orang datang. Katanya dia nak keluar dari tempat ni manalah tahu entah-entah esok lusa dia dapat kahwin dengan anak raja”. Hantu Paku Tua Betina mencelah untuk meredakan kemarahan Hantu Paku Tua Jantan. Hantu Paku Tua Jantan menarik nafas panjang. Pening kepalanya memikirkan anak sulongnya itu.
“Awak ingat anak kita tu cantik sampai nak kahwin dengan anak raja?. Raja mana yang nak ambik dia jadi menantu”. Tempik hantu paku tua jantan.
“Awak ni kenapa? Tiba-tiba nak marah saya pulak”. Hantu paku tua betina menyinga.
“Mestilah saya marah. Saya kena pertahankan warisan kita ni. Kalau bukan anak kita yang waris tugas kita siapa lagi nak jaga pucuk-pucuk paku di sini. Kalau dia keluar dari tempat ni dah tentu anak-anak kita yang lain pun nak ikut jejak langkah dia. Saya tak izinkan dia”. Hantu paku tua jantan berkeras.
“Ah! Sudahlah bang saya izinkan dia yang penting bila dia keluar dari tempat ni nanti untung-untung dapat kahwin dengan anak raja dan jadi kaya raya. Saya tak kisah kalau dia tak nak balik ke sini lagi lepas ni asalkan saya tahu dia hidup bahagia kaya raya jadi menantu raja”. Bentak hantu paku tua betina. Hantu paku tua jantan gelengkan kepala kerana takut memikirkan padah akan menimpa mereka nanti. Mereka sering berselisih pendapat walaupun mengenai perkara kecil. Itulah kehidupan hantu paku tidak pernahnya aman.
                      Dalam pada itu Tengku Nilam Bongsu tidak dapat menahan jiwanya. Akhirnya jari jemari Tengku Nilam Bongsu mencapai pucuk-pucuk paku tersebut satu demi satu sehinggalah mendapat secekak jarinya. Setelah puas memetik pucuk-pucuk paku tersebut Tengku Nilam Bongsu tersedar atas kesalahannya. Tengku Nilam Bongsu amat susah hati kerana telah engkar dengan pesan bondanya. Namun hatinya kembali tenang kerana tiada apa yang tidak ingin berlaku kepadanya setelah beberapa ketika. Setelah berpuas hati Tengku Nilam Bongsu bersiap-siap untuk berlayar kembali dan menyanyi lagu yang merdu untuk menyambung pelayarannya. Tanpa disedari Tengku Nilam Bongsu, anak hantu paku yang sulong telah menjelma menyerupai seorang wanita yang berpakaian seperti orang yang baru keluar dari lubuk ikan dengan perhiasan diri dari tempurung. Tiba-tiba jelmaan hantu paku itu duduk mengadap Tengku Nilam Bongsu. Tengku Nilam Bongsu terkejut dan tergamam hingga menyebabkan kapalnya berhenti berlayar. Tengku Nilam Bongsu amat takut dengan kehadiran hantu paku tersebut dan menggigil. Barulah dia tahu akan akibat memetik pucuk paku itu tadi.
”Engkaukah yang memanggil aku datang”. Kata hantu paku tersebut dengan suara yang tegas tetapi masih dalam dailek sengaunya.
”Hh..amm..baa...t..tak pernah panggil tuan hamba”. Kata Tengku Nilam Bongsu dengan perasaan yang takut.
”Habis tu kenapa petik pucuk paku tanpa kebenaran aku dan keluarga aku”.
”Hahammm.ba.. tidak tahu pucuk paku tersebut milik tuan hamba dan ham..ba minta maaf”. Tengku Nilam Bongsu memberanikan diri. Barulah dia tahu perempuan yang berada di hadapannya adalah hantu paku yang pernah bondanya ceritakan. Tengku Nilam Bongsu juga baru tahu bahawa hantu paku ini berkeluarga. Tengku Nilam Bongsu juga tahu bagaimana untuk mengambil hati hantu paku ini kerana bondanya pernah berkata supaya jika terserempak dengan hantu paku maka dia hendaklah menuruti apa kemahuan hantu paku tersebut supaya hantu paku tidak memakannya.
”Ke mana engkau hendak pergi dan sungguh berani berlayar seorang diri di kawasan ini”. Kata hantu paku. Tengku Nilam Bongsu memperkenalkan diri dan menceritakan tujuannya berlayar seorang diri. Mata hantu paku bersinar kerana hasratnya akan tercapai juga akhirnya jika dia memakan Tengku Nilam Bongsu dan menyamar menjadi Tengku Nilam Bongsu untuk berkahwin dengan anak raja yang Tengku Nilam Bongsu ceritakan.
”Oleh kerana engkau telah membuat kesalahan maka aku akan makan engkau”. Gertak hantu paku.
”Em..nanti dulu!...kalau tuan hamba makan hamba bagaimana tuan hamba nak suruh kapal hamba ini berlayar. Kapal hamba ini hanya akan berlayar jika hamba menyanyikan lagu”. Tengku Nilam Bongsu mendapat satu akal.
”Aku sudah dengar lagu yang engkau nyanyi tadi”. Hantu paku tersebut menyanyikan lagu dalam bahasanya sendiri dalam dailek sengau.
”Diri-diri atas jambatan
Nak tengok pelampung hanyut
Orang di sana kurus tak makan
Orang di sini meleleh air mata”.

Tengku Nilam Bongsu ternganga dan hampir ketawa kerana gelihatinya mendengar nyanyian hantu paku tersebut   dengan dialek sengaunya yang sungguh membingitkan telinganya. Namun Tengku Nilam Bongsu terpaksa menahan ketawanya kerana takut dimakan hantu paku. Kalaulah bukan hantu paku yang sedang menyanyi itu sudah tentu ketawa Tengku Nilam Bongsu terbarai mengeletek. Nyanyian hantu paku sedikit pun tidak membuatkan kapal bergerak malah tidak berganjak sedikit pun. Hantu paku sangat marah. Tengku Nilam Bongsu mendapat akal lalu menawarkan perjanjian bahawa jika dia menyanyikan lagu tersebut maka hantu paku tidak boleh memakannya sehingga sampai ke destinasi yang dituju. Hantu paku bersetuju dengan tawaran Tengku Nilam Bongsu. Maka berlayarlah Tengku Nilam Bongsu dengan hantu paku. Nyanyian Tengku Nilam Bongsu yang merdu membuatkan hantu paku dibuai perasaan yang amat teruja untuk berkahwin dengan anak raja.

                             Tiba-tiba hantu paku ternampak orang memancing ikan. Dia menyuruh Tengku Nilam Bongsu berhenti menyanyi dan kapal pun berhenti.
”Oi..orang memancing ikan! Mana elok subang tempurung ke subang emas?”. laung hantu paku kepada orang yang sedang memancing ikan. Orang yang sedang memancing tergamam dan cuba memahami perkataan yang ditanya oleh hantu paku itu. Orang yang sedang memancing tersebut tidak mengetahui siapakah gerangan yang bertanya namun segera menjawab.
”Cantiklah subang emas”. Kata orang memancing ikan. Apabila mendengar kata-kata orang itu tadi maka hantu paku pun berkata dengan keras kepada Tengku Nilam Bongsu sambil mencampakkan pakaian dan perhiasan tempurung kepada Tengku Nilam Bongsu untuk ditukarkan dengan pakaian dan perhiasan yang Tengku Nilam Bongsu pakai.
”Bak sini subang emas tu... ambikkk... subang tempurung ni koto nan ngoto...... tu”. Hantu paku menempik dan membentak Tengku Nilam Bongsu. Tengku Nilam Bongsu terkejut sekali lagi dan segera menurut arahan Hantu Paku tersebut. (koto nan ngoto tu maksudnya yang tak elok lagi buruk). Malah pertukaran itu bukanlah subang sahaja tetapi keseluruhan pakaian dan perhiasan dari hujung rambut hinggalah ke hujung kaki mereka berdua harus di tukar dengan segara. Tengku Nilam Bongsu terpaksa serahkan segala pakaian dan perhiasan dirajanya dan memakai pakaian buruk yang dipakai oleh hantu paku termasuklah segala perhiasan yang diperbuat dari tempurung kelapa dan begitulah juga hantu membuat perkara yang sama. Setelah selesai, Maka Sukalah hati hantu paku kerana dia kelihatan seperti puteri raja. Hantu paku segera menyuruh Tengku Nilam Bongsu menyanyi untuk meneruskan pelayaran.  Hantu paku tersebut dilamun perasaan dan berangan-angan untuk berkahwin dengan anak raja. Maka dia boleh berbangga dengan ayahnya iaitu si Hantu Paku Tua Jantan. Kemudian lamunannya terhenti seketika tatkala dia ternampak dari jauh orang yang sedang menangguk ikan. Dia menyuruh Tengku Nilam Bongsu berhenti menyanyi dan kapal pun berhenti. Oleh kerana, hati berbelah bahagi maka dia bertanyakan soalan yang sama kepada orang yang sedang menangguk ikan.
”Oi..orang menangguk ikan! Mana elok subang tempurung ke subang emas?”. laung hantu paku kepada orang yang sedang menangguk ikan tersebut. Orang yang menangguk ikan tergamam dan takut sungguh apabila mendengar suara sengau dan garau sehingga tangguk yang dipegang terlepas dari tangannya. Si penangguk ikan tahu bahawa yang bercakap itu adalah hantu paku kerana dailek sengaunya dan dia tahu bahawa wanita yang duduk disebelahnya yang hodoh rupanya pasti seorang manusia yang terpaksa menurut kehendak hantu paku kalau tidak dituruti hantu paku pasti akan memakan wanita itu. Dia juga tahu hantu paku adalah penunggu yang telah hidup beratus ratus tahun selagi pucuk paku tumbuh di bumi cuma hantu paku tidak tahu membezakan yang mana cantik dan yang mana buruk. Oleh kerana itu timbul rasa kasihan kepada si pemakai perhiasan tempurung maka dia pun menjawab.
”Cantiklah subang tempurung”. Katanya kepada hantu paku. Apabila mendengar kata-kata orang itu tadi maka hantu paku pun menjadi marah lalu mencampakkan segala pakaian dan perhiasan emas yang dipakainya kepada Tengku Nilam Bongsu untuk ditukarkan kembali dengan pakaian dan perhiasan tempurung.
”Bak sini subang tempurung tu... ambikkk... subang emas ni koto nan ngoto..... tu”. Bentak hantu paku kerana dia telah merasa ditipu oleh si pemancing ikan. Maka pertukaran berlaku sekali lagi. Kali ini Tengku Nilam Bongsu kelihatan seperti puteri semula.

                        Hantu paku segera menyuruh Tengku Nilam Bongsu terus menyanyi untuk meneruskan pelayaran. Dalam hati Tengku Nilam Bongsu berbunga kerana telah memasuki negeri Raja Noman dan dari jauh kelihatan Istana Raja Noman tersergam indah. Hantu paku tidak mengetahui perkara tersebut. Namun tiba-tiba hantu paku ternampak orang sedang menjala ikan. Dia menyuruh Tengku Nilam Bongsu berhenti menyanyi dan kapal pun berhenti. Dia sekali lagi merasa was-was dengan pakaian dan perhiasan yang di pakainya. Dalam fikirannya mungkin dia ditipu oleh si penangguk ikan seperti si pemancing ikan menipunya. Lalu dia pun melaung kepada si penjala ikan pula.
”Oi..orang menjala ikan! Mana elok subang tempurung ke subang emas?”. laung hantu paku kepada orang yang sedang menjala ikan. Orang yang sedang menjala ikan terkejut dan berhenti  menjala lalu menjawab.
”Cantiklah subang emas”. Kata orang menjala ikan itu. Apabila mendengar kata-kata orang itu tadi maka hantu paku pun berkata dengan keras kepada Tengku Nilam Bongsu sambil mencampakkan pakaian dan perhiasan tempurung kepada Tengku Nilam Bongsu untuk ditukarkan dengan pakaian dan perhiasan emas yang Tengku Nilam Bongsu pakai. Tengku Nilam Bongsu amat kecewa kerana Istana Raja Noman sudah hampir benar dengan tempat mereka berhenti.
”Bak sini subang emas tu ambik subang tempurung ni koto nan ngoto tu”.
Setelah selesai hantu paku melaung kembali kepada orang yang menjala ikan tadi.
”Oi..orang yang menjala ikan yang mana satu puteri”. Laung hantu paku lagi. Apabila dilihat 2 orang di atas kapal seorang buruk dan seorang cantik maka dia berkata bahawa puteri adalah yang memakai pakaian dan perhiasan emas. Maka Sukalah hati hantu paku. Hantu paku segera menyuruh Tengku Nilam Bongsu menyanyi untuk meneruskan pelayaran. Tidak lama kemudian sampailah mereka di istana Raja Noman yang indah dan cantik. Hantu paku mengugut Tengku Nilam Bongsu supaya tidak memberitahu kepada Raja Noman bahawa dia adalah hantu paku dan bukannya Tengku Nilam Bongsu. Jika Tengku Nilam Bongsu melanggar arahan hantu paku akan memakan dirinya dan juga putera sulong Raja Noman. Tengku Nilam Bongsu terpaksa akur dan menurut segala perintah hantu paku.
                               Kedatangan Tengku Nilam Bongsu amat dinanti-nantikan oleh Tuanku Raja Noman dan disambut dengan gilang gemilang. Namun mereka keliru akan kehadiran 2 orang wanita tersebut. Maka mereka berandaian bahawa Tengku Nilam Bongsu adalah yang memakai pakaian dan perhiasan emas. Hantu paku juga mengatakan bahawa wanita yang hodoh yang memakai perhiasan tempurung tersebut adalah pembantunya. Mata Tengku Laksana iaitu Putera sulong Raja Noman terus terarah kepada pembantu yang dikatakan. Hatinya terdetik walaupun pakaian dan perhiasannya hodoh dan buruk namun raut wajahnya amat menarik jika diteliti dengan lebih dekat. Timbul rasa ingin tahu di dalam hatinya. Tengku Laksana adalah orang yang akan dijodohkan dengan Tengku Nilam Bongsu dan sudah pasti dia ingin tahu adakah yang hadir di istana ayahandanya itu adalah Tengku Nilam Bongsu puteri kepada Ayahanda Tuanku Sultan Zulkarnain Shah. Tengku Laksana amat hairan kerana ada dua wanita yang dihantar dan benarkah mereka dari sana. Tengku Laksana juga hairan dengan tingkah laku kasar Tengku Nilam Bongsu berbanding dengan pembantunya yang lembut dan sopan. Dia merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan Tengku Nilam Bongsu tersebut. Dia ingin menyiasat perkara tersebut dan meminta ayahandanya membenarkan pembantu Tengku Nilam Bongsu tinggal di bawah istana supaya memudahkan Tengku Nilam Bongsu berhubung. Tuanku Raja Noman bersetuju dengan permintaan putera sulongnya. Maka hantu paku yang sedang menyamar itu dipelawa naik ke istana. Apabila kaki hantu paku melangkah masuk ke istana maka meloponglah mulutnya ternganga kerana melihat keindahan istana Tuanku Raja Noman. Hantu Paku di tempatkan di sebuah bilik yang indah khas untuk seorang puteri raja. Dia dilayan dengan baik oleh seluruh penghuni istana yang mana seperti yang diidam-idamkan olehnya selama ini. Maka timbul rasa riak dalam dirinya kerana kini dia seorang puteri dan akan berkahwin dengan anak raja. Hantu Paku tidak sabar lagi menanti hari bahagianya dan segera menemui Tuanku Raja Noman.
" Ampun Tuanku". Hantu Paku mengangkat sembah.
"Ya anakanda Puteri Nilam, ayahanda kira sudah pasti ada sesuatu yang anakanda perlu katakan sehingga anakanda mengadap ayahanda, katakanlah wahai anakanda. Jangan segan-segan ataupun malu". Tuanku Raja Noman berbicara lagak seorang ayah.
"Emm...Ampun tuanku.. sebenarnya.. anakanda hanya mahu tahu sahaja... agaknya bila anakanda akan disatukan dengan Tengku Laksana bakal suami anakanda itu?". Hantu Paku bertanya tanpa segan silu dan hampir tergeliat lidahnya cuba membetulkan dialek sengaunya. Tuanku Raja Noman tersenyum gembira kerana Tengku Nilam Bongsu sudah tidak sabar lagi diperisterikan. Rasa gembira mengatasi rasa pelik di hatinya. Nampaknya perkara ini akan menjadi lebih mudah.
"Ayahanda akan aturkan secepat yang mungkin untuk anakanda berdua, memang hasrat ayahanda berdua untuk mempercepatkan perkara ini. Anakanda janganlah risau tidak lari gunung dikejar. Buat masa ini anakanda berehatlah dahulu". Tuanku Raja Noman mengeluarkan kata-katanya dengan tenang. Hati hantu Paku berbunga dan meminta diri masuk ke biliknya.

                         Manakala Tengku Nilam Bongsu yang berada di bawah istana sedang mempersiapkan dirinya untuk mencari jalan supaya hantu paku itu dihapuskan dengan segera. Kalau tidak padah akan menimpa seluruh istana. Sedang Tengku Nilam Bongsu berfikir dia didatangi oleh Tengku Laksana iaitu Putera Sulong Raja Noman yang sepatutnya dikahwini. Tengku Nilam Bongsu tiba-tiba diselubungi perasaan malu dan tidak selesa dengan kahadiran Tengku Laksana ke tempatnya.
"Wahai sipembantu Tengku Nilam Bongsu, siapakan gerangan namamu?". Tengku Laksana menyapa dengan mesra. Tengku Nilam Bongsu menjadi serba salah dengan pertanyaan itu. Dia tertunduk malu lagak seorang puteri bertemu puteranya. Padahal hakikatnya memang begitu. Apakah nama yang perlu dia berikan kepada Tengku laksana sedangkan namanya adalah Tengku Nilam Bongsu. Mana mungkin dia membocorkan rahsia. Tengku Nilam Bongsu tidak berkata apa-apa. Dia menjadi lebih tidak selesa dengan pertanyaan tersebut.
"Sebenarnya tadi beta ingin keluar memburu bersama hulubalang tetapi beta ternampak tuan hamba termenung. Beta kira sudah pasti tuan hamba dalam kesulitan dan perlukan pertolongan".
"Emm..patik tidak apa-apa Tengku. Maafkan patik kerana menyusahkan Tengku". Akhirnya Tengku Nilam Bongsu bersuara. Dia berharap agar Tengku Laksana segera beredar sebelum hantu paku mendapat tahu. Tatkala Tengku Nilam Bongsu bersuara, Tengku Laksana terasa ada sesuatu yang bergelora di dalam jiwanya. Tengku Laksana tidak tahu apakah tanda perasaan itu. 

** Apakah makna perasaan Tengku Laksana terhadap pembantu Tengku Nilam Bongsu. Apakah Tengku Laksana berjaya mengetahui siapa Tengku Nilam Bongsu yang sebenarnya dan berjayakah Tengku Nilam Bongsu menghapuskan Hantu Paku tersebut. Adakah segala persoalan akan terungkai di dalam BAB yang seterusnya iaitu BAB 3. Nantikan! 

********* JANGAN MARAH HA............. CERITANYA PANJANG LAGI LAH......














http://www.theweeklypay.com/index.php?share=226996 



PERTUNJUKAN BUNGA API PAROI NS JANJI DITEPATI






Sabtu, 17 November 2012

NAZAM 25 NABI & RASUL Ke 5 HINGGA KE 7


Nazam 25 Nabi & Rasul

KELIMA
Utusan Allah bilang yang ke 5,
Nabi Saleh Rasul yang mulia,
Kaumnya sesat menyembah berhala,
Satu kaum yang enggan menerima;

Dia menyeru sembahlah yang Maha Esa,
Tanpa putus asa terus berusaha,
Mukjizat sendiri dikurnia kepadanya,
Unta ajaib yang sihat tubuhnya;

Hari ke hari ramai pengikutnya,
Berkat mukjizat Allah beri padanya,
Datang dengki di antara kaumnya,
Membunuh unta tanpa fikir akibatnya;

Tiga Hari hanya masa yang diberi,
Bersenang-senang sementara dijanji,
Badai taufan datang mencari,
Kaum yang engkar bergelimpangan mati;

Nazam 25 Nabi & Rasul

KEENAM
Nabi Ibrahim ke 6 bilangannya,
Ulul Azmi 5 rasul utama,
Kaumnya sesat menyembah berhala,
Serta ayahnya dan Rajanya juga;

Di musnahkan semua berhala,
Beri pengajaran kepada kaumnya,
Supaya sedar akan kebenarannya,
Bahawa berhala tiada bernyawa;

Ibrahim ditangkap perintah rajanya,
Raja Namrud bertitah membakarnya,
Di dalam api tiada dimakan ia,
Ibrahim keluar dengan selamat dan sejahtera;

Demikianlah kebesaran Yang Esa
Dilimpah kepada Ibrahim utusannya,
Untuk pengajaran kepada hambanya,
Agar terselamat dari seksa Neraka;

Nazam 25 Nabi & Rasul

KETUJUH

Ke 7 Luth Rasul yang mulia,
Nabi Ibarahim bapa saudaranya,
Di utus kepada kaum rendah akhlaknya,
Bercinta-cinta dengan rakan sejenisnya;

Malaikat turun mengkhabar berita
Yang akan tiba menimpa kaumnya,
Luth dan pengikut meninggalkan negerinya,
Sebelum bencana berlaku esoknya;

Kuasa Allah tiada bandingannya,
Tanah runtuh teramat dasyatnya,
Memusnahkan sekelian kaumnya,
Yang telah engkar lagi derhaka;