FOTO

FOTO
Klik Sini untuk info lanjut

Sabtu, 17 November 2012

NAZAM 25 NABI & RASUL Ke 5 HINGGA KE 7


Nazam 25 Nabi & Rasul

KELIMA
Utusan Allah bilang yang ke 5,
Nabi Saleh Rasul yang mulia,
Kaumnya sesat menyembah berhala,
Satu kaum yang enggan menerima;

Dia menyeru sembahlah yang Maha Esa,
Tanpa putus asa terus berusaha,
Mukjizat sendiri dikurnia kepadanya,
Unta ajaib yang sihat tubuhnya;

Hari ke hari ramai pengikutnya,
Berkat mukjizat Allah beri padanya,
Datang dengki di antara kaumnya,
Membunuh unta tanpa fikir akibatnya;

Tiga Hari hanya masa yang diberi,
Bersenang-senang sementara dijanji,
Badai taufan datang mencari,
Kaum yang engkar bergelimpangan mati;

Nazam 25 Nabi & Rasul

KEENAM
Nabi Ibrahim ke 6 bilangannya,
Ulul Azmi 5 rasul utama,
Kaumnya sesat menyembah berhala,
Serta ayahnya dan Rajanya juga;

Di musnahkan semua berhala,
Beri pengajaran kepada kaumnya,
Supaya sedar akan kebenarannya,
Bahawa berhala tiada bernyawa;

Ibrahim ditangkap perintah rajanya,
Raja Namrud bertitah membakarnya,
Di dalam api tiada dimakan ia,
Ibrahim keluar dengan selamat dan sejahtera;

Demikianlah kebesaran Yang Esa
Dilimpah kepada Ibrahim utusannya,
Untuk pengajaran kepada hambanya,
Agar terselamat dari seksa Neraka;

Nazam 25 Nabi & Rasul

KETUJUH

Ke 7 Luth Rasul yang mulia,
Nabi Ibarahim bapa saudaranya,
Di utus kepada kaum rendah akhlaknya,
Bercinta-cinta dengan rakan sejenisnya;

Malaikat turun mengkhabar berita
Yang akan tiba menimpa kaumnya,
Luth dan pengikut meninggalkan negerinya,
Sebelum bencana berlaku esoknya;

Kuasa Allah tiada bandingannya,
Tanah runtuh teramat dasyatnya,
Memusnahkan sekelian kaumnya,
Yang telah engkar lagi derhaka;

Ahad, 30 September 2012

NAZAM 25 NABI DAN RASUL - ke 2 hingga ke 4


Nazam 25 Nabi & Rasul

KEDUA

Ke 2 Idris Rasul yang istimewa,

Kurniaan Allah tidak terbanding ia,

Tekun belajar kitab yang Esa,

Pandai menulis dan juga membaca;


Segala kurniaan tidak dipersia,

Kuat beribadah kepada yang Esa,

Menolong orang dengan percuma,

Demikian indahnya Akhlak Ambia;

  

Nazam 25 Nabi & Rasul

KETIGA

Nabi Noh Rasul yang ke 3

Sangat terkenal dan panjang umurnya,

Kaumnya sombong derhaka pula,

Menyembah patung yang tidak bernyawa;


Kaumnya sangka Nabi Noh sudah gila,

Membina bahtera di tengah kota,

Tidak hirau walaupun ditertawa,

Perintah Allah tetap diturutinya,


Sangat biadab iaitu kaumnya,

Mencabar pula kuasa Yang Esa,

Dipohonkan Allah datangkan bencana,

Moga keturunan tidak jahat dan derhaka;


Allah perintah bawa pengikutnya,

Serta ternakan naik bahtera segera,

Datang bencana tidak terkira,

Bumi tenggelam beserta isinya;


Sedih di hati melihat puteranya,

Diiringi dengan linangan air mata,

Anaknya kafir yang degil dan derhaka,

Tengelam juga bersama lainnya;


Gunung Judy tersadainya bahtera,

Menjadi sejarah kepada dunia,

Begitulah kuasa yang Maha Esa,

Beri petunjuk kepada hambanya;

Nazam 25 Nabi & Rasul

KEEMPAT

Ke 4 Hud Rasul yang mulia,

Cucu Nabi Noh dan Sam Ayahnya,

Diutus Allah kepada umatnya,

Kaum Ad yang menyembah berhala;


Sangat zalim iaitu kaumnya,

Banyak angkara sesama manusia,

Diberi ingat balasan akan tiba,

Namun hanya sia-sia belaka;


Diturun seksa kepada mereka,

Angin Syar-Syar diberi nama,

Amat kencang dan sungguh hebat pula,

Matilah kaumnya kecuali yang setia;




Jumaat, 10 Ogos 2012

PUTERI BONGSU DAN JELMAAN HANTU PAKU - Bab 1



PUTERI BONGSU DAN JELMAAN HANTU PAKU



Salam Sejahtera untuk pembaca yang budiman.....

                             PUTERI BONGSU DAN JELMAAN HANTU PAKU hanyalah kisah kehidupan dahulukala hasil dari penceritaan Allahyarhamah ibunda saya Kiah binti Bujang. Beliau juga telah mewarisi cerita ini dari Allahyarmah nenek saya. Walaupun mereka sudah tiada namun apa yang mereka warisi diharap boleh memberi sedikit manfaat. Cerita ini hanyalah rekaan dari nenek moyang zaman dahulu yang rata-rata mempercayai mitos dan tahyul. Dalam kehidupan seharian mereka hanya berbekalkan pengalaman yang tidak boleh disangkal. 

Ibu saya selalu bercerita kepada kami adik beradik tentang cerita-cerita orang Melayu dahulukala bukanlah untuk apa-apa hanyalah sekadar memenuhi aktiviti harian setelah penat bekerja pada siang hari ataupun sewaktu terputusnya bekalan elektrik. Maklum sahaja hiburan dahulu tidak sama dengan masa kini. Saya percaya apa yang diceritakan ada mesej dan nilai-nilai murni serta pengajaran yang terselindung yang boleh kita manfaatkan. Apabila saya semakin meningkat remaja dan dewasa barulah saya dapat mentafsir satu persatu mesej yang terselindung disebalik setiap kisah yang diceritakan. Sungguh pun dahulu kami tidak menonton televisyen seperti anak-anak zaman sekarang hasilnya ia mampu memberikan hiburan kepada kami. Saya percaya dengan cara ini jugalah moyang kita dahulu mengajar  anak-anak mereka  berdikari dan membina ikatan kekeluargaan yang erat serta bahagia.

Oleh itu, saya ingin berkongsi cerita ini khas untuk tatapan anda. Harapan saya agar apa yang dituliskan mampu memberi sedikit hiburan dan dapat mengambil mesej yang baik untuk dipraktikkan. Selamat membaca....



Inarz 2012




PUTERI BONGSU DAN JELMAAN HANTU PAKU


Olahan : Inarz

BAB 1



         Pada zaman dahulu terdapat sebuah negeri yang diperintah oleh Tuanku Sultan Zulkarnain shah yang amat masyhur. Hasil dari perkongsian hidup bersama permaisurinya Tengku  Delima, Baginda dikurniakan tujuh orang puteri yang cantik. Kesemua puteri baginda diberikan kasih sayang dan dijaga dengan segala kecukupan. Sungguh pun begitu keenam-enam puteri baginda mempunyai minat yang sama iaitu sentiasa berseronok dan bersukaria kecuali Puteri yang ke tujuh iaitu Tengku Nilam Bongsu. Walau pun begitu Tuanku Sultan Zulkarnain Shah  amat menyayangi kesemua puteri-puterinya dan tidak pernah membezakan sayang terhadap mereka bertujuh.

        Tengku Nilam Bongsu pula diakui amat berbeza kerana sejak dari dalam kandungan lagi Tengku Permaisuri Delima telah mendapat mimpi pada suatu malam bahawa seorang wanita hadir di dalam mimpinya dengan berpakaian seperti seorang puteri menyatakan bahawa anak yang dikandungnya adalah puteri  yang terpilih. Namun Tengku Permaisuri Delima tidak mengendahkan mimpi tersebut sehinggalah Tengku Nilam Bongsu dilahirkan dan membesar seperti anak-anak yang lain. Pun begitu Baginda Sultan dan Tengku Permaisuri Delima mengakui bahawa Tengku Nilam Bongsu amat istimewa perwatakkannya dan lebih rapat dengan ayahanda serta bondanya. Kalau tiada di istana, Tengku Nilam Bongsu lebih selesa berada di taman menikmati keindahan bunga-bungaan yang cantik. Tengku Nilam Bongsu juga seorang yang suci hati serta lemah lembut. Satu tabiat Tengku Nilam Bongsu ialah suka berinteraksi dengan binatang dan tumbuh-tumbuhan kerana percaya dengan kata-kata bondanya bahawa semua binatang dan tumbuh-tumbuhan adalah pendengar yang setia. Tengku Nilam Bongsu yakin bahawa binatang dan tumbuh-tumbuhan juga bernyawa cuma tidak boleh berfikir dan berkata-kata seperti manusia. Semua kekandanya selalu mengejek perbuatan Tengku Nilam Bongsu yang suka bercakap seorang diri itu namun Tengku Nilam Bongsu tidak menghiraukan ejekan tersebut kerana dia lebih seronok begitu untuk  menghiburkan hatinya. 

           Berbeza dengan puteri-puteri yang lain, mereka lebih mementingkan diri sendiri. Selain dari itu mereka juga tidak suka jika Tengku Nilam Bongsu menyertai mereka kerana adinda mereka tidak seperti mereka. Mereka sentiasa menaruh perasaan benci dan cemburu apabila melihat Tengku Nilam Bongsu bermanja dengan ayahanda dan bonda mereka. Mereka menyangka Ayahanda dan Bonda mereka memberikan lebih kasih sayang berbanding dengan mereka berenam. Mereka selalu mencari jalan untuk menyingkirkan Tengku Nilam Bongsu tetapi oleh kerana pemikiran yang cetek maka rancangan mereka selalunya gagal. Jika sesekali Tengku Nilam Bongsu menyertai mereka bermain bersama-sama seringkali dia dibuli. Namun Tengku Nilam Bongsu tidak pernah bersangka buruk malahan sangat sayang kepada semua kekanda-kekandanya. Bagi Puteri Bongsu apa sahaja yang dilakukan oleh kekandanya hanyalah guarauan semata dan tidak pernah berkecil hati sedikit pun.

          Pada satu hari Tuanku Sultan Zulkarnain Shah dikunjungi dua orang utusan yang dihantar oleh Sultan Noman yang memerintah sebuah negeri di seberang lautan. Raja tersebut menghantar utusan untuk meminang salah seorang puteri yang bertujuh untuk dijodohkan dengan putera sulong baginda. Selain dari itu hasrat Raja Noman agar perkahwinan antara keduanya dapat mengeratkan hubungan antara dua negeri yang telah lama renggang. Baginda dan permaisuri amat runsing memikirkan siapakah calon yang sesuai dari ke tujuh-tujuh puteri baginda. Mana  mungkin baginda dapat melepaskan puteri-puteri kesayangan baginda ke negeri yang jauh di seberang lautan. Sudahlah jauh diperantauan, entahkan bila dapat bersua.

”Wahai Adinda kesayangan Kanda, apa pandangan dinda tentang perkara ini”. Baginda Sultan cuba meminta pendapat permaisurinya.

”Ampun Tuanku, sebenarnya dalam hati dinda ini amat berat hendak melepaskan salah seorang dari mereka”.

”Tetapi dinda perkara ini harus segera kita fikirkan demi menjaga kemasyhuran negeri ini dan juga rakyat jelata”.

”Walaupuan berat di jiwa namun dinda amat faham dengan keadaan ini kanda. Dinda akur dengan segala keputusan kanda”.

”Kanda juga tidak boleh menolaknya dikhuatiri datang musibah pula kepada rakyat dan negeri”.

”Usahlah digusarkan kanda. Mana baik difikiran kanda, dinda menurut sahaja”.

”Betapa senang hati kanda mendengar kata-kata dinda, tetapi kanda rungsing siapakah yang sesuai kita jodohkan dengan Putera Baginda Raja Noman itu?”.

”Dinda pun tidak tahu puteri yang manakah paling sesuai kanda. Dinda beranggapan puteri-puteri kita belum bersedia untuk dijadikan isteri kepada mana-mana putera pun. Dinda khuatir kalau-kalau anakkanda kita membuat kesalahan di negeri orang nanti”.

”Apapun anggapan dinda terhadap mereka, kita terpaksa melepaskan salah seorang dari mereka”.

”Kalau ikutkan mestilah Puteri kita yang Sulong kerana Putera baginda anakanda yang Sulong juga kanda”.

”Entahkan sesuai atau tidak. Walaupun berat di hati kanda ini, kanda terpaksa buat keputusan segera”.

                      Dalam pada itu, Tengku Nilam Sulong telah pun mengetahui perkara tersebut semasa kedatangan dua utusan mengadap Sultan. Tengku Puteri Sulong mencuri dengar perbualan Baginda dengan dua utusan tersebut. Tengku Nilam Sulong dengan riang memaklumkan kepada semua adindanya kecuali Tengku Nilam Bongsu. Tengku Nilam Sulong bukanlah gembira kerana bakal disunting tetapi gembira kerana dia mendapat satu ilham yang jauh lebih bagus dari perkara itu.

                       Selang sehari kemudian ke semua puteri raja dititah mengadap Sultan, mereka bertujuh segera mengadap Baginda Sultan Zulkarnain Shah. Baginda Sultan Zulkarnain Shah segera menyatakan hasrat Baginda Raja Noman kepada semua puteri-puterinya. Sementara itu ke tujuh-tujuh puteri baginda berdebar-debar menantikan keputusan Baginda untuk memilih siapakah yang dipilih untuk dijodohkan dengan Putera Sulong Raja Noman. Baginda menyatakan dengan berat hati bahawa Tengku Nilam Sulong telah dipilih Baginda untuk dijodohkan dengan Putera Raja Noman memandangkan Tengku Nilam Sulong adalah anakanda yang paling Sulong dari ke tujuh-tujuh puteri Baginda. Setelah mendengar titah Baginda, tiba-tiba Tengku Nilam Sulong menangis teresak-esak dan menuduh bahawa Baginda tidak sayang kepadanya.

”Anakanda tahu ayahanda tidak sayang pada anakanda sebab itulah ayahanda memilih anakanda”. Tengku Nilam Sulong mengatur kata-kata. Puteri-puteri yang lain mengiyakan kata-kata kekandanya. Tengku Nilam Sulong juga menyatakan bahawa selama ini dia tidak diberi peluang untuk berbakti kepada baginda. Puteri Nilam Sulong sengaja mencari alasan agar dia tidak dihantar ke negeri Raja Noman. Apabila Banginda mendengar kata-kata Anakandanya Tengku Nilam Sulong, membuatkan baginda berada dalam keadaan yang serba salah. Baginda memandang wajah puteri-puteri Baginda dengan perasaan yang teramat sayang dan sukar. Tengku Nilam Bongsu juga kasihan dengan Tengku Nilam Sulong dan lebih simpati kerana melihat ayahandanya dalam keadaan yang serba salah.

”Siapa kata ayahanda tidak sayang.., ayahanda sayang kesemuanya”.

”Selama ini kami sangat sayang kepada ayahanda dan bonda walaupun kami sedar, kami selalu menyakiti hati ayahanda sebab itulah ayahanda berhasrat menghantar kami seorang demi seorang keluar dari istana. Kami juga tahu bahawa ayahanda selama ini melebihkan sayang kepada Tengku Nilam Bongsu!”. Tengku Nilam Dua cuba memerangkap Baginda. Tengku Nilam Bongsu terkejut mendengar kata-kata kekandanya yang kedua. Tengku Nilam Dua memang terkenal dengan kelancangan kata-kata berbanding dengan yang lain.

”Hari ini Kanda sulong esok lusa entah-entah giliran kami berlima pula”. Tengku Nilam Tiga mencelah. Puteri-puteri yang lain mengangguk tanda menyokong kekandanya yang Ketiga. Tengku Nilam Bongsu hanya mampu menundukkan kepala tidak berani bertentang mata dengan kekandanya. Timbul rasa bersalah dan kesal di dalam hati Tengku Nilam Bongsu. Sepatutnya sebagai anak mereka tidak boleh sekali-kali membantah kata-kata kedua Ayahanda dan Bonda. Tengku Nilam Bongsu juga tidak tahu niat sebenar kekanda-kekandanya.

”Ayahanda tidak pernah berniat begitu terhadap anakanda semua”. Suara Baginda memujuk.

”Betulkah ayahanda, Kalau begitu banyak mana ayahanda sayang anakanda?”. Tengku Nilam Sulong bertanya kepada baginda.

”Aa..aa..Ayahanda sayang lebih dari segala-galanya dan....”.

”Kalau ayahanda sayang lebih kepada anakanda maka ayahanda tidak boleh memilih anakkanda menjadi isteri kepada Putera Sulong Raja Noman itu kerana anakanda perlu sentiasa berada dengan ayahanda dan Bonda. Bukankah begitu Bonda?”. Tengku Puteri Sulong terus mencelah jawapan Baginda membuatkan kata-kata Baginda terhenti.

”Ye kami pun sama juga dengan Kekanda Sulong, Kami pun perlu sentiasa bersama dengan ayahanda dan Bonda”. Kata Tengku Nilam Dua. Baginda Sultan makin runsing dan serba salah apabila mendengar kata-kata anakandanya.

”Hah! Dinda Bongsu kenapa diam sahaja. Tengku Nilam Enam Bersuara.

”Dinda....pun sama”. Tengku Nilam Bongsu bercakap dengan suara yang perlahan. Dia sedar bahawa ayahandanya sedang dalam keadaan yang serba salah. Tengku Nilam Bongsu amat kasihan melihat ayahandanya yang terpaksa mengikutkan kerenah kekanda-kekandanya. Barulah Tengku Puteri bongsu sedar rupa-rupanya segala perilakunya selama ini telah mengundang rasa tidak senang kepada kekanda-kekandanya yang berenam.

”Oleh kerana anakanda sayangkan ayahanda dan bonda serta rakyat jelata, anakanda sanggup dihantar ke Negeri Raja Noman untuk dijodohkan dengan Puteranya”. Tengku Nilam Bongsu sanggup menawarkan diri semata-mata untuk menyelamatkan maruah ayahandanya. Tengku Nilam Bongsu tidak mahu ayahandanya susah hati dan terpaksa membuat keputusan yang akan dibenci oleh ke enam-enam kekandanya.

”Anakanda Tengku Nilam Bongsu! Anakanda masih muda?”. Tengku Delima terkejut dengan pengakuan Tengku Nilam Bongsu.

”Anakanda dengan rela hati Bonda”. Tengku Nilam berkata jujur.

”Tidak menyesalkah anakanda dengan keputusan anakanda ini”.

”Ayahanda jangan risau, anakanda buat keputusan demi Ayahanda dan Bonda serta negeri ini”.

”Sungguh mulia hati anakanda, kerana sanggup mengadaikan perasaan demi maruah keluarga”. Baginda Sultan menahan sebak kerana terpaksa melepaskan Tengku Nilam Bongsu. Tengku Permaisuri Delima memeluk erat puterinya yang bongsu dengan penuh kasih sayang dan hiba. Tengku puteri yang lain memandang benci dengan keprihatinan ayahanda dan bonda mereka terhadap Tengku Nilam Bongsu walaupun di dalam hati mereka berbuah rasa gembira yang teramat sangat kerana akhirnya berjaya juga menyingkirkan Puteri Nilam Bongsu dari istana sejak Tengku Nilam Bongsu dilahirkan. Oleh kerana Tengku Nilam Bongsu telah menawarkan diri maka puteri yang lain dibenarkan beredar dari situ. Dengan perasaan yang gembira keenam-enam puteri berlalu. Tinggallah baginda dan permaisuri bersama dengan Tengku Nilam Bongsu menyambung bicara.

”Ikutkan hati ayahanda ini, anakanda tiada langsung dalam fikiran ayahanda untuk di hantar ke Negeri Raja Noman. Ayahanda rasa belum masanya anakanda berpisah dengan ayahanda dan bonda. Ayahanda juga tidak mahu anakanda pergi namun apalah daya ayahanda kerana hanya anakanda sahaja yang sanggup menawarkan diri maka ayahanda dengan berathati terpaksa akur dengan ketentuan ini. Ayahanda akan perintahkan memanda menteri untuk menyiapkan pekerja istana dan kelengkapan kapal untuk menghantar anakanda ke sana”. Baginda bertitah dengan berat hati.

”Anakanda mohon permintaan ayahanda agar tidak menyediakan kapal yang besar untuk anakanda cukuplah untuk anakanda seorang sahaja”. Tengku Nilam Bongsu membuat permintaan.

”Kenapa pula anakanda, negeri Raja Noman bukanlah dekat untuk anakanda belayar ke sana seorang diri”. Baginda dan tengku permaisuri lagi bertambah terkejut dengan permintaan pelik Tengku Nilam Bongsu.

”Oleh kerana jauhlah anakanda membuat permintaan ini ayahanda, anakanda tidak mahu ada dikalangan pekerja istana meninggalkan keluarga semata-mata untuk menghantar anakanda dan entah bila pula mereka akan pulang ke pangkuan keluarga”. Tengku Nilam Bongsu menerangkan apa yang tersirat di dalam hatinya.

”Sungguh berat permintaan anakanda dan tidak sanggup ayahanda menunaikan hasrat anakanda ini”. Baginda bertambah sedih kerana tidak menyangka anakandanya yang seorang ini amat berjiwa rakyat dan sungguh bertanggung jawab ke atas rakyat serta negeri yang diperintahnya.

”Ini sahaja permintaan anakanda sebelum anakanda berangkat ke sana. Ayahanda jangan risau akan keselamatan anakanda, tahulah anakanda menjaga diri anakanda nanti”.

”Wahai anakanda Nilam Bongsu kenapakah ini permintaan yang anakanda pohon. Permintaan anakanda ini membuatkan hati bonda bertambah gundah gulana”.

”Wahai bonda kesayangan anakanda, janganlah terlalu bersedih hiba. Anakanda tidak akan apa-apa bonda”.

” Apalah daya Bonda. Bonda berdoa agar anakanda dilindungi sentiasa”.

Akhirnya hari yang dinanti telah tiba. Segala kelengkapan dan bekalan makanan telah disediakan di dalam kapal kecil Tengku Nilam Bongsu. Tengku Nilam Bongsu juga telah bersedia untuk berhijrah ke Negeri Raja Noman. 

”Ingat ye pesan Bonda, sentiasa berbuat baik dengan orang. Satu lagi kalau anakanda terjumpa sekelompok sayur pucuk paku yang hidup ditepi gua,  jangan dipetik takut-takut mengundang bahaya”. Tengku Permaisuri Delima berpesan kepada Tengku Nilam Bongsu.

”Baiklah Bonda”.

 Nota : Apa kesudahan pengembaraan Puteri Nilam Bongsu Ke Negeri Seberang Laut iaitu Negeri Raja Noman dan apa pula cerita yang menarik sepanjang pelayarannya........ kita tunggu Bab 2 ye....


BAB DUA TELAH DI MUAT NAIK KE BLOG INI... SELAMAT MEMBACA

Khamis, 9 Ogos 2012

NAZAM 25 NABI DAN RASUL YANG PERTAMA NABI ADAM A.S


Nazam 25 Nabi & Rasul
PERTAMA - NABI ADAM A.S

Dengan Bismillah kisah dimulai,
Menyebut nama segala Nabi,
Mana yang patut kita imani,
Itulah umat yang dikasihi;

Abdullah Sultan Bahari,
Muhammad yatim anak sendiri,
Makkah Madinah payung negeri,
Di situ tempat makamnya nabi;

Awal pertama Nabi Allah Adam,
Nenek manusia kafir dan Islam,
Mula asalnya di Darul Salam,
Ditempa Jibrail tanah segengam;
Adam jadi seorang diri,
Di dalam Syurga berhari-hari,
Lihat burung dua sejoli,
Ingin Adam hendak beristeri;

Cita Adam Allah mengetahui,
Dijadikan Hawa tulang rusuknya kiri,
Allah Mengahwinkan Jibrail saksi,
Di arak dihantar selawatkan nabi;

Gembira Adam tidak terperi,
Hidup bahagia suami isteri,
Bersenang-senang di dalam syurgawi,
Tiada kekurangan yang Allah kurniai;

Larangan Allah sudahlah pasti,
Pohon Kholdi hendaklah dijauhi,
Memakannya juga jangan sekali,
Selain dari itu tiada dilarangi;

Datang Iblis ingin menduga,
Merupakan diri mencipta angkara,
Memujuk Hawa hingga berjaya,
Buah Kholdi dimakan keduanya;

Kemurkaan Allah tiada terduga,
Ribut Taufan tiba-tiba menjelma,
Terbuka Aurat ditutupi daun syurga,
Allah perintahkan turun ke dunia;

Sesal kemudian tiada berguna,
Akibat hasutan Iblis durjana,
Adam dan Hawa tanggung Derita,
Mohon Allah mengampunkannya;

Turun ke dunia di pisah sementara,
Bertahun lamanya baharulah berjumpa;
Dikurniakan pula cahayamata,
Hidup berdua menjadi khalifahnya;
Demikian kisah moyang manusia,
Allah tentukan segala takdirnya,
Jalani hidup di dunia nyata,
Sehingga ajal dan kiamat tiba,

Selasa, 7 Ogos 2012

KISAH LUCU : BERSELUAR MENANTU...!!


BERSELUAR MENANTU....!!


Kisah ni adalah cerita lucu orang dulu-dulu...sekadar nak isi masa lapang lepas lelah penat bekerja. cerita ni selalu arwah ibu saya perdengarkan pada kami masa hayatnya semasa santai kami sekeluarga. Abah saya pun suka juga dengar cerita ni tak kering gusi dibuatnya. Kisah ni amat popular di kalangan keluarga dan adik beradik saya. Oleh sebab itu saya rasa saya nak lah berkongsi cerita ni dengan orang diluar sana maka saya hidangkan pada rakan pembaca blog ini. Kisah ni saya dah olah jadi lebih tragis apabila membacanya. Tetapi tidak mengubah maksud.

Kisah bermula pada zaman dahulu lah ni. Ada sebuah pasangan yang tinggal di dalam sebuah kampung yang rata-rata penduduknya memang bekerja kampung. kadang-kadang ke kebun, ke sungai cari ikan dan macam-macam lagi pekerjaan untuk mencari nafkah dan rezeki yang halal.

Pada suatu hari si isteri telah menjahit sehelai baju dan seluar yang diperbuat dari kertas tebal. Saya pun kurang periksa kenapa nak jahit kertas tu jadi baju dan seluar plak. Saya pun tak pernah terfikir nak tanya pada arwah ibu saya dulu. Mungkin suka-suka kot atau baru nak belajar menjahit. Maklumlah orang dulu-dulu kan ke nikah muda jadi walaupun fikiran cepat matang mungkin tak puas main. Agak saya lah. Tak pe lah tu, kita sambung lah kisah ni semula.

Oleh kerana baju dan seluar kertas yang dijahitnya tu untuk lelaki maka dia meminta si suami ni memakai baju kertas tersebut untuk menjadi model dia. Si suami mula-mulanya keberatan tetapi pujukan si isteri mengatasi segalanya. Akhirnya si suami ni bersetujulah memenuhi permintaan isterinya yang tersayang. Si suami menanggalkan bajunya dan memakai baju kertas yang isterinya jahit tadi. ikut cerita arwah ibu saya dulu itulah bajunya dan seluarnya tapi tak sebut pulak si suami ni pakai ke tak seluar dalam. Oleh kerana tidak mahu si isteri tarik muka maka si suami pun memujilah si isteri ni kerana baju yang dia jahit itu memang padan dengan badannya. Gembiralah hati si isteri......untuk menghargai si isteri yang penat menjahit baju kertas itu tadi si suami tidaklah menanggalkan baju dan seluar kertas yang dipakainya.

Hendak dijadikan cerita...si suami pun hendak keluar cari rezeki untuk makan petang. Dia pergi lah ke sungai tempat dia mamasang lukah yang tidak jauh dari rumahnya. Sebelum si suami keluar rumah si isteri dah berpesan jangan turun dalam air nanti baju yang dia pakai akan rosak. Apabila sampai di sungai si suami melihat lukah yang di pasang penuh dengan ikan Baung (kalau tak kenal ikan tu sejenis ikan air tawarlah cari je dalam goggle). Bila si suami ni terlihat banyak ikan baung yang terperangkap dalam lukahnya, dia teruja yang amat sangat dan terus turun ke sungai untuk mengambil lukahnya sehingga terlupa baju yang dia pakai tadi. Dia pun dengan teruja dan senang hatinya bawa naik lukahnya ke tebing. Faham-faham jelah bila kertas kena air......kan ke basah dan koyak dan...jeng, jeng, jeng........hanyut...........

Lagi nak sedapkan cerita.....kebetulan si bapa mertua kepada si suami pun datang bertandang maka terserempaklah dengan si menantu lelakinya yang tengah seronok bawa lukah dan ikan yang ditangkap. Apabila sahaja terpandang menantu ni tadi si bapa mertua pun terkejut dan terkujatlah macam nak pengsan dan hampir pitam.

"Berkain menantu". Si bapa melaung kepada menantunya.

"Tak de lain de yah, ikan baung je". Sangka si menantu ni bapa mertuanya bertanyakan ikan apa yang dia dapat.

"Berseluar menantuuuuu...". Si bapa mengingatkan menantunya lagi.

"Tak jual de yah kita makan anak beranak je". Si menantu tak juga perasan.

Si menantu ni pulak dah kemaruk ikan baung tu. Dia terus je keluarkan ikan dari lukah dengan senang hati dan gembira yang tidak dapat digambarkan kerana hasil tangkapannya sangat banyak berbanding dengan hari-hari yang lain. Dia mungkin memikirkan ikan yang dia dapat tu boleh disalai dan di simpan cukup untuk bekalan seminggu.

Si bapa pun putus asa dan mati akal apa lagi dia nak cakap...Akhirnya si bapa pun menyuruh anak perempuannya membuat pengat labu untuk dihidangkan sebagai minum petang sementara menantunya melayan perasaan gembiranya.

Si bapa mengajak menentunya naik ke rumah menikmati minum petang bersama pengat labu yang di masak tadi. Si suami pun menghiruplah pengat labu tadi dan tidak semena-mena tertumpahlah pengat labu tadi dari sudu yang di pegang dan terkena pada anggotanya yang satu itu. Sebaik sahaja terasa panas dan sakit di bahagian itu dia pun tergamam dan tersedar rupanya dia tidak memakai seutas benang pun di badan dari tadi. Dia bingkas bangun dan terus lari ke bilik untuk mengambil kain. Malu tak payah nak ceritalahkan. Si isteri lega kerana suaminya sudah berpijak di bumi nyata. Si bapa menggelengkan kepala sambil mengurut dada. Menantu-menantu.................



Moral cerita ni :  Jangan ikutkan taksub ikutkan perasaan dan hati sehingga memalukan diri sendiri.



Nukilan dan olahan : inarz


Ahad, 5 Ogos 2012

SEJAK PERTEMUAN ITU


SEJAK PERTEMUAN ITU.... 

Zaman persekolahan sentiasa dalam ingatanku. Ayah telah diarahkan bertugas ke satu daerah yang terletak di Negeri Sembilan iaitu di Seremban. Kebetulan cuti penggal akhir sudah pun bermula. Secara lazimnya sebagai doktor pakar kerajaan, ayah akur dengan pertukaran tersebut. Begitulah ayah, di Kelantan kemudian di Sabah dan sekarang khidmat ayah diperlukan di Negeri Sembilan pula. Aku tahu apabila cuti penggal akhir persekolan berakhir bermulalah persekolahan di tempat yang baru. Aku tidak pernah mengeluh atau menyesal walaupun terpaksa berpisah dengan kawan-kawan dari sekolah sebelum ini. Lumrah kehidupan yang patah akan tumbuh yang hilang akan berganti walaupun tidak sama tetapi pasti akan mempunyai keistimewaan tersendiri. Aku pasti akan berkenalan dengan ramai kawan baru. Apa–apa pun kami sekeluarga amat menyokong kerjaya ayah terutamanya ibu yang tidak pernah penat memberikan kasih sayang dan sokongan padu buat ayah dan kami.

Sebelum cuti sekolah berakhir, kami sekeluarga sempat juga meluangkan masa bersama-sama bersantai di Pantai Port Dickson. Walau pun  Pantai Port Dickson amat biasa bagi orang-orang di negeri Sembilan tetapi bagi kami Pantai Port Dickson amat istimewa dan ianya salah satu pusat pelancongan yang terkenal dalam Negara juga salah satu tempat yang aku idamkan untuk di kunjungi. Masa cuti persekolahan kami terisi dengan pelbagai aktiviti dan tidak lupa juga persediaan aku ke tingkatan 5 nanti. Ada masanya ayah juga sempat turut serta walaupun kerjanya amat sibuk. Kerinduan aku pada kawan-kawan terubat seketika.

Hari persekolahan akhirnya bermula juga. Debaran tetap terasa takkala kakiku melangkah masuk ke sekolah yang baru. Setelah didaftarkan aku, adik dan along di pisahkan untuk di bawa ke kelas masing-masing. Aku diperkenalkan dengan guru kelasku iaitu Cikgu halimah. Cikgu Halimah meminta aku mengikutnya untuk ke kelas. Langkah demi langkah ku aturkan kakiku menuruti langkahan cikgu Halimah. Apa yang pasti aku tidak dapat bayangkan bagaimana penerimaan kawan-kawan  sekelas terhadap aku nanti. Aku cuba selesakan diri dan melangkah masuk ke kelas dengan tenang. Serentak dengan itu ucapan selamat untuk guru bergema seluruh kelas. Suasana senyap seketika semua mata tertumpu ke arah aku. Aku jadi sedikit gemuruh.

“Selamat pagi, duduk semua”. Suara Cikgu Halimah memberikan arahan. Aku masih tercegat disisi Cikgu Halimah.

“Saya ingin memperkenalkan di sebelah saya ni Atikah. Hari ini Atikah baru mendafatr masuk ke sekolah ini dan akan ditempatkan di kelas ini. Saya harap kamu semua sedia menerima Atikah sebagai rakan baru dan sedia memberikan kerjasama kepadanya.

“Atikah, saya rasa elok kalau kamu perkenalkan diri kamu sedikit supaya rakan-rakan kamu selesa menerima kamu. Aku menganguk faham.

“Em..Nama saya Atikah binti Abu Zaid. Saya dari Selangor. Saya harap saya diterima dalam kelas ni”.

“Boleh saya tanya, Awak sekolah kat mana sebelum ni?”. Salah seorang murid perempuan ingin tahu.

“Sebenarnya saya pernah bersekolah di Kelantan dan Sabah. Selangor tu kampung saya. Sebelum ni saya belum pernah lagi datang ke Negeri Sembilan, ini kali pertama saya jejakkan kaki di Seremban”.

“Saya pun ada benda nak tanya, boleh ke cikgu?”. Salah seorang murid lelaki meminta izin dari Cikgu Halimah.

“Silakan Ainul tapi jangan banyak sangat bertanya kita nak mula belajar dah ni”.

“Ok, Cikgu saya nak tanya satu soalan je. Camni Cikgu saya tertanya-tanya kenapa banyak sangat sekolah yang Atikah belajar ada masalah disiplin ke?”. Suara nakal Ainul mencuri perhatian kelas. Cikgu Halimah Jegilkan mata tanda memberi amaran kepada Ainul. Aku cuba tenang menerima soalan sebegitu. Dia tidak tahu situasi sebenar.

“Oh! Taklah, saya bukan sengaja nak pindah banyak sekolah tapi saya  dan keluarga terpaksa ikut ayah saya yang terpaksa bertugas ke mana yang diarahkan”. Aku memandang Ainul kemudian beralih pandangan kepada Cikgu Halimah. Aku berharap sangat agar Cikgu Halimah segera akhiri sesi suai kenal ini.

“Ayah awak askar ye?”. Ainul bertanya lagi.

“Tak, Doktor?”. Aku jawab pendek. Kedengaran suara berbisik-bisik di barisan belakang. Aku tidak pasti apa yang dibisikkan mereka.

“Baiklah! Atikah kamu boleh duduk di sebelah Salma ye”. Cikgu Halimah menunjukkan tempat duduk kosong. Aku menarik nafas lega dan segera duduk di sebelah rakan baruku iaitu Salma. Kami lantas bersalaman. Walau pun kami belum berkenalan lagi tetapi Salma menghulurkan senyuman dan menunjukkan raut wajah yang amat menyenangkan hati aku. Cikgu Halimah memulakan pembelajaran Subjek Bahasa Melayu kepada kelas. Nampaknya aku boleh menyesuaikan diri dengan rakan baru dan kelas ini. Cara penyampaian Cikgu Halimah semasa mengajar amat menarik minat aku dan mudah untuk difahami seperti mana guru aku yang terdahulu.

Ringggggg.......! Loceng waktu rehat berbunyi. Kelas lengan seketika Cuma aku dan Salma sahaja yang masih tinggal di dalam kelas tersebut.

“Emm.. Salma tak ke kantin?”. Aku bertanya kepada Salma.

“Ala...janggal pulak bila ada orang panggil Sal dengan nama penuh. Panggil Sal dahlah. Sal tunggu Tikah kalau-kalau nak ke kantin Sal boleh temankan. Tikah kan budak baru kat sekolah ni. Nak pergi kantin jomlah Sal temankan”. Salma menawarkan diri.

“Boleh juga..terima kasih ye Sal?”. Aku gembira mendengar kata-kata Salma.

“Ok. Sal pun tak kisahlah. Lepas ni Sal boleh bawa Tikah tengok-tengok kawasan sekolah ni nak tak?” Salma menawarkan diri sekali lagi tanpa diminta.  Aku mengangguk. Ya Allah...baiknya dia ni.....

“Sebelum waktu rehat habis, jom kita pergi. Nanti tak sempat pulak”. Salma menarik lengan aku menyusur koridor menuju ke kantin. Dalam pada itu aku mencari-cari juga along dan adik tapi dengan keadaan kantin yang sesak mana mungkin aku boleh Nampak kelibat along dan adik.

“Eh, Tikah cari siapa?”.

“Along dengan adik, tak tau mana diaorang pergi”.

“Laa...Tikah ada adik-beradik lain kat sekolah ni, Kenapa tak cakap. Kalau Sal tau kita boleh cari diaorang tu. Kalau tingkatan enam dekat Blok sana. Salma menundingkan jarinya ke satu blok besebelahan dengan blok kelas kami. Adik tingkatan berapa?”.

“Tingkatan Satu, Maklumlah baru nak jejak kaki ke sekolah menengah. Risau adik jangal pulak. Along tu Tikah tak kisah sangat kesian dengan adik je”.

“Tapi kalau dah ramai-ramai ni mungkin susah sikit kita nak cari”.

“Tak pe lah Sal, mungkin sekejap lagi kita terserempak dengan diaorang kot”.

Dalam pada itu Salma sempat menunjukkan kepada aku di mana letaknya makmal, bilik komputer dan perpustakaan sekolah. Sesekali mata aku mencari-cari Along dan adik kalau-kalau mereka ada di situ. Dari jauh aku lihat Along dan adik ada bersama-sama, kebetulan adik ternampak aku dan Salma. Adik memberitahu along dan lambaikan tangan dan buat isyarat naikkan ibu jarinya tanda dia suka dengan sekolah baru. Aku menarik lengan Salma supaya mengikut aku tetapi belum pun sempat aku menghampiri mereka berdua loceng berbunyi. Aku hanya sempat menunjukkan isyarat jumpa di hadapan pintu pagar sekolah sewaktu balik nanti. Adik dan along mengangguk. Aku dan Salma beredar ke kelas.

            Pembelajaran hari ini tamat dengan baik. Aku dan Salma jalan beriringan keluar dari kelas. Aku Lihat adik sudah menunggu di pintu pagar sekolah. Along belum lagi kelihatan kelibatnya.

“Hah! Macam mana dik. Ok tak?”. Aku menyapa adik.

“Ok kak. Adik suka sekolah ni”.

“Ini angah kenalkan kak Salma”. Aku perkenalkan Salma kepada adik. Adik pandang dan senyum kepada Salma.

“Along mana?”.
“Belum keluar lagi kot”.
“Sal kena balik dulu ni. Ayah Sal dah sampai”.

“Nak tumpang jomlah”
“Tak pe Sal. Ibu datang jemput kami sekejap lagi”.

“Ok bye...”.

“Ok bye...”. kami saling melambaikan tangan.seketika kemudian Along menghampiri kami. Tidak lama selepas itu ibu datang menjemput kami,

“Assalammualaikum bu...”. Aku menyapa ibu dahulu.

“Waalaikummussalam....macam mana dengan sekolah ni. Ok tak?. Ibu bertanya.

“Adik suka bu...Kawan-kawan pun tak sombong”.

“Angah dengan along macam mana pulak?”.

“Kelas along ok jugak bu”.

“Angah pun ok bu”.

“Kalau dah semua ok baguslah tu. Belajarlah rajin-rajin”.



Nota : Sampai di sini sahaja untuk Bab 1 ini. Bab 2 nanti lagi best ceritanya.......tunggu......