FOTO

FOTO
Klik Sini untuk info lanjut

Jumaat, 10 Ogos 2012

PUTERI BONGSU DAN JELMAAN HANTU PAKU - Bab 1



PUTERI BONGSU DAN JELMAAN HANTU PAKU



Salam Sejahtera untuk pembaca yang budiman.....

                             PUTERI BONGSU DAN JELMAAN HANTU PAKU hanyalah kisah kehidupan dahulukala hasil dari penceritaan Allahyarhamah ibunda saya Kiah binti Bujang. Beliau juga telah mewarisi cerita ini dari Allahyarmah nenek saya. Walaupun mereka sudah tiada namun apa yang mereka warisi diharap boleh memberi sedikit manfaat. Cerita ini hanyalah rekaan dari nenek moyang zaman dahulu yang rata-rata mempercayai mitos dan tahyul. Dalam kehidupan seharian mereka hanya berbekalkan pengalaman yang tidak boleh disangkal. 

Ibu saya selalu bercerita kepada kami adik beradik tentang cerita-cerita orang Melayu dahulukala bukanlah untuk apa-apa hanyalah sekadar memenuhi aktiviti harian setelah penat bekerja pada siang hari ataupun sewaktu terputusnya bekalan elektrik. Maklum sahaja hiburan dahulu tidak sama dengan masa kini. Saya percaya apa yang diceritakan ada mesej dan nilai-nilai murni serta pengajaran yang terselindung yang boleh kita manfaatkan. Apabila saya semakin meningkat remaja dan dewasa barulah saya dapat mentafsir satu persatu mesej yang terselindung disebalik setiap kisah yang diceritakan. Sungguh pun dahulu kami tidak menonton televisyen seperti anak-anak zaman sekarang hasilnya ia mampu memberikan hiburan kepada kami. Saya percaya dengan cara ini jugalah moyang kita dahulu mengajar  anak-anak mereka  berdikari dan membina ikatan kekeluargaan yang erat serta bahagia.

Oleh itu, saya ingin berkongsi cerita ini khas untuk tatapan anda. Harapan saya agar apa yang dituliskan mampu memberi sedikit hiburan dan dapat mengambil mesej yang baik untuk dipraktikkan. Selamat membaca....



Inarz 2012




PUTERI BONGSU DAN JELMAAN HANTU PAKU


Olahan : Inarz

BAB 1



         Pada zaman dahulu terdapat sebuah negeri yang diperintah oleh Tuanku Sultan Zulkarnain shah yang amat masyhur. Hasil dari perkongsian hidup bersama permaisurinya Tengku  Delima, Baginda dikurniakan tujuh orang puteri yang cantik. Kesemua puteri baginda diberikan kasih sayang dan dijaga dengan segala kecukupan. Sungguh pun begitu keenam-enam puteri baginda mempunyai minat yang sama iaitu sentiasa berseronok dan bersukaria kecuali Puteri yang ke tujuh iaitu Tengku Nilam Bongsu. Walau pun begitu Tuanku Sultan Zulkarnain Shah  amat menyayangi kesemua puteri-puterinya dan tidak pernah membezakan sayang terhadap mereka bertujuh.

        Tengku Nilam Bongsu pula diakui amat berbeza kerana sejak dari dalam kandungan lagi Tengku Permaisuri Delima telah mendapat mimpi pada suatu malam bahawa seorang wanita hadir di dalam mimpinya dengan berpakaian seperti seorang puteri menyatakan bahawa anak yang dikandungnya adalah puteri  yang terpilih. Namun Tengku Permaisuri Delima tidak mengendahkan mimpi tersebut sehinggalah Tengku Nilam Bongsu dilahirkan dan membesar seperti anak-anak yang lain. Pun begitu Baginda Sultan dan Tengku Permaisuri Delima mengakui bahawa Tengku Nilam Bongsu amat istimewa perwatakkannya dan lebih rapat dengan ayahanda serta bondanya. Kalau tiada di istana, Tengku Nilam Bongsu lebih selesa berada di taman menikmati keindahan bunga-bungaan yang cantik. Tengku Nilam Bongsu juga seorang yang suci hati serta lemah lembut. Satu tabiat Tengku Nilam Bongsu ialah suka berinteraksi dengan binatang dan tumbuh-tumbuhan kerana percaya dengan kata-kata bondanya bahawa semua binatang dan tumbuh-tumbuhan adalah pendengar yang setia. Tengku Nilam Bongsu yakin bahawa binatang dan tumbuh-tumbuhan juga bernyawa cuma tidak boleh berfikir dan berkata-kata seperti manusia. Semua kekandanya selalu mengejek perbuatan Tengku Nilam Bongsu yang suka bercakap seorang diri itu namun Tengku Nilam Bongsu tidak menghiraukan ejekan tersebut kerana dia lebih seronok begitu untuk  menghiburkan hatinya. 

           Berbeza dengan puteri-puteri yang lain, mereka lebih mementingkan diri sendiri. Selain dari itu mereka juga tidak suka jika Tengku Nilam Bongsu menyertai mereka kerana adinda mereka tidak seperti mereka. Mereka sentiasa menaruh perasaan benci dan cemburu apabila melihat Tengku Nilam Bongsu bermanja dengan ayahanda dan bonda mereka. Mereka menyangka Ayahanda dan Bonda mereka memberikan lebih kasih sayang berbanding dengan mereka berenam. Mereka selalu mencari jalan untuk menyingkirkan Tengku Nilam Bongsu tetapi oleh kerana pemikiran yang cetek maka rancangan mereka selalunya gagal. Jika sesekali Tengku Nilam Bongsu menyertai mereka bermain bersama-sama seringkali dia dibuli. Namun Tengku Nilam Bongsu tidak pernah bersangka buruk malahan sangat sayang kepada semua kekanda-kekandanya. Bagi Puteri Bongsu apa sahaja yang dilakukan oleh kekandanya hanyalah guarauan semata dan tidak pernah berkecil hati sedikit pun.

          Pada satu hari Tuanku Sultan Zulkarnain Shah dikunjungi dua orang utusan yang dihantar oleh Sultan Noman yang memerintah sebuah negeri di seberang lautan. Raja tersebut menghantar utusan untuk meminang salah seorang puteri yang bertujuh untuk dijodohkan dengan putera sulong baginda. Selain dari itu hasrat Raja Noman agar perkahwinan antara keduanya dapat mengeratkan hubungan antara dua negeri yang telah lama renggang. Baginda dan permaisuri amat runsing memikirkan siapakah calon yang sesuai dari ke tujuh-tujuh puteri baginda. Mana  mungkin baginda dapat melepaskan puteri-puteri kesayangan baginda ke negeri yang jauh di seberang lautan. Sudahlah jauh diperantauan, entahkan bila dapat bersua.

”Wahai Adinda kesayangan Kanda, apa pandangan dinda tentang perkara ini”. Baginda Sultan cuba meminta pendapat permaisurinya.

”Ampun Tuanku, sebenarnya dalam hati dinda ini amat berat hendak melepaskan salah seorang dari mereka”.

”Tetapi dinda perkara ini harus segera kita fikirkan demi menjaga kemasyhuran negeri ini dan juga rakyat jelata”.

”Walaupuan berat di jiwa namun dinda amat faham dengan keadaan ini kanda. Dinda akur dengan segala keputusan kanda”.

”Kanda juga tidak boleh menolaknya dikhuatiri datang musibah pula kepada rakyat dan negeri”.

”Usahlah digusarkan kanda. Mana baik difikiran kanda, dinda menurut sahaja”.

”Betapa senang hati kanda mendengar kata-kata dinda, tetapi kanda rungsing siapakah yang sesuai kita jodohkan dengan Putera Baginda Raja Noman itu?”.

”Dinda pun tidak tahu puteri yang manakah paling sesuai kanda. Dinda beranggapan puteri-puteri kita belum bersedia untuk dijadikan isteri kepada mana-mana putera pun. Dinda khuatir kalau-kalau anakkanda kita membuat kesalahan di negeri orang nanti”.

”Apapun anggapan dinda terhadap mereka, kita terpaksa melepaskan salah seorang dari mereka”.

”Kalau ikutkan mestilah Puteri kita yang Sulong kerana Putera baginda anakanda yang Sulong juga kanda”.

”Entahkan sesuai atau tidak. Walaupun berat di hati kanda ini, kanda terpaksa buat keputusan segera”.

                      Dalam pada itu, Tengku Nilam Sulong telah pun mengetahui perkara tersebut semasa kedatangan dua utusan mengadap Sultan. Tengku Puteri Sulong mencuri dengar perbualan Baginda dengan dua utusan tersebut. Tengku Nilam Sulong dengan riang memaklumkan kepada semua adindanya kecuali Tengku Nilam Bongsu. Tengku Nilam Sulong bukanlah gembira kerana bakal disunting tetapi gembira kerana dia mendapat satu ilham yang jauh lebih bagus dari perkara itu.

                       Selang sehari kemudian ke semua puteri raja dititah mengadap Sultan, mereka bertujuh segera mengadap Baginda Sultan Zulkarnain Shah. Baginda Sultan Zulkarnain Shah segera menyatakan hasrat Baginda Raja Noman kepada semua puteri-puterinya. Sementara itu ke tujuh-tujuh puteri baginda berdebar-debar menantikan keputusan Baginda untuk memilih siapakah yang dipilih untuk dijodohkan dengan Putera Sulong Raja Noman. Baginda menyatakan dengan berat hati bahawa Tengku Nilam Sulong telah dipilih Baginda untuk dijodohkan dengan Putera Raja Noman memandangkan Tengku Nilam Sulong adalah anakanda yang paling Sulong dari ke tujuh-tujuh puteri Baginda. Setelah mendengar titah Baginda, tiba-tiba Tengku Nilam Sulong menangis teresak-esak dan menuduh bahawa Baginda tidak sayang kepadanya.

”Anakanda tahu ayahanda tidak sayang pada anakanda sebab itulah ayahanda memilih anakanda”. Tengku Nilam Sulong mengatur kata-kata. Puteri-puteri yang lain mengiyakan kata-kata kekandanya. Tengku Nilam Sulong juga menyatakan bahawa selama ini dia tidak diberi peluang untuk berbakti kepada baginda. Puteri Nilam Sulong sengaja mencari alasan agar dia tidak dihantar ke negeri Raja Noman. Apabila Banginda mendengar kata-kata Anakandanya Tengku Nilam Sulong, membuatkan baginda berada dalam keadaan yang serba salah. Baginda memandang wajah puteri-puteri Baginda dengan perasaan yang teramat sayang dan sukar. Tengku Nilam Bongsu juga kasihan dengan Tengku Nilam Sulong dan lebih simpati kerana melihat ayahandanya dalam keadaan yang serba salah.

”Siapa kata ayahanda tidak sayang.., ayahanda sayang kesemuanya”.

”Selama ini kami sangat sayang kepada ayahanda dan bonda walaupun kami sedar, kami selalu menyakiti hati ayahanda sebab itulah ayahanda berhasrat menghantar kami seorang demi seorang keluar dari istana. Kami juga tahu bahawa ayahanda selama ini melebihkan sayang kepada Tengku Nilam Bongsu!”. Tengku Nilam Dua cuba memerangkap Baginda. Tengku Nilam Bongsu terkejut mendengar kata-kata kekandanya yang kedua. Tengku Nilam Dua memang terkenal dengan kelancangan kata-kata berbanding dengan yang lain.

”Hari ini Kanda sulong esok lusa entah-entah giliran kami berlima pula”. Tengku Nilam Tiga mencelah. Puteri-puteri yang lain mengangguk tanda menyokong kekandanya yang Ketiga. Tengku Nilam Bongsu hanya mampu menundukkan kepala tidak berani bertentang mata dengan kekandanya. Timbul rasa bersalah dan kesal di dalam hati Tengku Nilam Bongsu. Sepatutnya sebagai anak mereka tidak boleh sekali-kali membantah kata-kata kedua Ayahanda dan Bonda. Tengku Nilam Bongsu juga tidak tahu niat sebenar kekanda-kekandanya.

”Ayahanda tidak pernah berniat begitu terhadap anakanda semua”. Suara Baginda memujuk.

”Betulkah ayahanda, Kalau begitu banyak mana ayahanda sayang anakanda?”. Tengku Nilam Sulong bertanya kepada baginda.

”Aa..aa..Ayahanda sayang lebih dari segala-galanya dan....”.

”Kalau ayahanda sayang lebih kepada anakanda maka ayahanda tidak boleh memilih anakkanda menjadi isteri kepada Putera Sulong Raja Noman itu kerana anakanda perlu sentiasa berada dengan ayahanda dan Bonda. Bukankah begitu Bonda?”. Tengku Puteri Sulong terus mencelah jawapan Baginda membuatkan kata-kata Baginda terhenti.

”Ye kami pun sama juga dengan Kekanda Sulong, Kami pun perlu sentiasa bersama dengan ayahanda dan Bonda”. Kata Tengku Nilam Dua. Baginda Sultan makin runsing dan serba salah apabila mendengar kata-kata anakandanya.

”Hah! Dinda Bongsu kenapa diam sahaja. Tengku Nilam Enam Bersuara.

”Dinda....pun sama”. Tengku Nilam Bongsu bercakap dengan suara yang perlahan. Dia sedar bahawa ayahandanya sedang dalam keadaan yang serba salah. Tengku Nilam Bongsu amat kasihan melihat ayahandanya yang terpaksa mengikutkan kerenah kekanda-kekandanya. Barulah Tengku Puteri bongsu sedar rupa-rupanya segala perilakunya selama ini telah mengundang rasa tidak senang kepada kekanda-kekandanya yang berenam.

”Oleh kerana anakanda sayangkan ayahanda dan bonda serta rakyat jelata, anakanda sanggup dihantar ke Negeri Raja Noman untuk dijodohkan dengan Puteranya”. Tengku Nilam Bongsu sanggup menawarkan diri semata-mata untuk menyelamatkan maruah ayahandanya. Tengku Nilam Bongsu tidak mahu ayahandanya susah hati dan terpaksa membuat keputusan yang akan dibenci oleh ke enam-enam kekandanya.

”Anakanda Tengku Nilam Bongsu! Anakanda masih muda?”. Tengku Delima terkejut dengan pengakuan Tengku Nilam Bongsu.

”Anakanda dengan rela hati Bonda”. Tengku Nilam berkata jujur.

”Tidak menyesalkah anakanda dengan keputusan anakanda ini”.

”Ayahanda jangan risau, anakanda buat keputusan demi Ayahanda dan Bonda serta negeri ini”.

”Sungguh mulia hati anakanda, kerana sanggup mengadaikan perasaan demi maruah keluarga”. Baginda Sultan menahan sebak kerana terpaksa melepaskan Tengku Nilam Bongsu. Tengku Permaisuri Delima memeluk erat puterinya yang bongsu dengan penuh kasih sayang dan hiba. Tengku puteri yang lain memandang benci dengan keprihatinan ayahanda dan bonda mereka terhadap Tengku Nilam Bongsu walaupun di dalam hati mereka berbuah rasa gembira yang teramat sangat kerana akhirnya berjaya juga menyingkirkan Puteri Nilam Bongsu dari istana sejak Tengku Nilam Bongsu dilahirkan. Oleh kerana Tengku Nilam Bongsu telah menawarkan diri maka puteri yang lain dibenarkan beredar dari situ. Dengan perasaan yang gembira keenam-enam puteri berlalu. Tinggallah baginda dan permaisuri bersama dengan Tengku Nilam Bongsu menyambung bicara.

”Ikutkan hati ayahanda ini, anakanda tiada langsung dalam fikiran ayahanda untuk di hantar ke Negeri Raja Noman. Ayahanda rasa belum masanya anakanda berpisah dengan ayahanda dan bonda. Ayahanda juga tidak mahu anakanda pergi namun apalah daya ayahanda kerana hanya anakanda sahaja yang sanggup menawarkan diri maka ayahanda dengan berathati terpaksa akur dengan ketentuan ini. Ayahanda akan perintahkan memanda menteri untuk menyiapkan pekerja istana dan kelengkapan kapal untuk menghantar anakanda ke sana”. Baginda bertitah dengan berat hati.

”Anakanda mohon permintaan ayahanda agar tidak menyediakan kapal yang besar untuk anakanda cukuplah untuk anakanda seorang sahaja”. Tengku Nilam Bongsu membuat permintaan.

”Kenapa pula anakanda, negeri Raja Noman bukanlah dekat untuk anakanda belayar ke sana seorang diri”. Baginda dan tengku permaisuri lagi bertambah terkejut dengan permintaan pelik Tengku Nilam Bongsu.

”Oleh kerana jauhlah anakanda membuat permintaan ini ayahanda, anakanda tidak mahu ada dikalangan pekerja istana meninggalkan keluarga semata-mata untuk menghantar anakanda dan entah bila pula mereka akan pulang ke pangkuan keluarga”. Tengku Nilam Bongsu menerangkan apa yang tersirat di dalam hatinya.

”Sungguh berat permintaan anakanda dan tidak sanggup ayahanda menunaikan hasrat anakanda ini”. Baginda bertambah sedih kerana tidak menyangka anakandanya yang seorang ini amat berjiwa rakyat dan sungguh bertanggung jawab ke atas rakyat serta negeri yang diperintahnya.

”Ini sahaja permintaan anakanda sebelum anakanda berangkat ke sana. Ayahanda jangan risau akan keselamatan anakanda, tahulah anakanda menjaga diri anakanda nanti”.

”Wahai anakanda Nilam Bongsu kenapakah ini permintaan yang anakanda pohon. Permintaan anakanda ini membuatkan hati bonda bertambah gundah gulana”.

”Wahai bonda kesayangan anakanda, janganlah terlalu bersedih hiba. Anakanda tidak akan apa-apa bonda”.

” Apalah daya Bonda. Bonda berdoa agar anakanda dilindungi sentiasa”.

Akhirnya hari yang dinanti telah tiba. Segala kelengkapan dan bekalan makanan telah disediakan di dalam kapal kecil Tengku Nilam Bongsu. Tengku Nilam Bongsu juga telah bersedia untuk berhijrah ke Negeri Raja Noman. 

”Ingat ye pesan Bonda, sentiasa berbuat baik dengan orang. Satu lagi kalau anakanda terjumpa sekelompok sayur pucuk paku yang hidup ditepi gua,  jangan dipetik takut-takut mengundang bahaya”. Tengku Permaisuri Delima berpesan kepada Tengku Nilam Bongsu.

”Baiklah Bonda”.

 Nota : Apa kesudahan pengembaraan Puteri Nilam Bongsu Ke Negeri Seberang Laut iaitu Negeri Raja Noman dan apa pula cerita yang menarik sepanjang pelayarannya........ kita tunggu Bab 2 ye....


BAB DUA TELAH DI MUAT NAIK KE BLOG INI... SELAMAT MEMBACA

2 ulasan: