PUTERI BONGSU DAN JELMAAN HANTU PAKU
Salam Sejahtera untuk pembaca yang budiman.....
PUTERI BONGSU DAN JELMAAN HANTU PAKU
hanyalah kisah kehidupan dahulukala hasil dari penceritaan Allahyarhamah ibunda
saya Kiah binti Bujang. Beliau juga telah mewarisi cerita ini dari
Allahyarmah nenek saya. Walaupun mereka sudah tiada namun apa yang mereka
warisi diharap boleh memberi sedikit manfaat. Cerita ini hanyalah rekaan dari
nenek moyang zaman dahulu yang rata-rata mempercayai mitos dan tahyul. Dalam
kehidupan seharian mereka hanya berbekalkan pengalaman yang tidak boleh
disangkal.
Ibu saya selalu bercerita kepada kami adik beradik tentang cerita-cerita orang Melayu dahulukala bukanlah untuk apa-apa hanyalah sekadar memenuhi aktiviti harian setelah penat bekerja pada siang hari ataupun sewaktu terputusnya bekalan elektrik. Maklum sahaja hiburan dahulu tidak sama dengan masa kini. Saya percaya apa yang diceritakan ada mesej dan nilai-nilai murni serta pengajaran yang terselindung yang boleh kita manfaatkan. Apabila saya semakin meningkat remaja dan dewasa barulah saya dapat mentafsir satu persatu mesej yang terselindung disebalik setiap kisah yang diceritakan. Sungguh pun dahulu kami tidak menonton televisyen seperti anak-anak zaman sekarang hasilnya ia mampu memberikan hiburan kepada kami. Saya percaya dengan cara ini jugalah moyang kita dahulu mengajar anak-anak mereka berdikari dan membina ikatan kekeluargaan yang erat serta bahagia.
Ibu saya selalu bercerita kepada kami adik beradik tentang cerita-cerita orang Melayu dahulukala bukanlah untuk apa-apa hanyalah sekadar memenuhi aktiviti harian setelah penat bekerja pada siang hari ataupun sewaktu terputusnya bekalan elektrik. Maklum sahaja hiburan dahulu tidak sama dengan masa kini. Saya percaya apa yang diceritakan ada mesej dan nilai-nilai murni serta pengajaran yang terselindung yang boleh kita manfaatkan. Apabila saya semakin meningkat remaja dan dewasa barulah saya dapat mentafsir satu persatu mesej yang terselindung disebalik setiap kisah yang diceritakan. Sungguh pun dahulu kami tidak menonton televisyen seperti anak-anak zaman sekarang hasilnya ia mampu memberikan hiburan kepada kami. Saya percaya dengan cara ini jugalah moyang kita dahulu mengajar anak-anak mereka berdikari dan membina ikatan kekeluargaan yang erat serta bahagia.
Oleh itu, saya ingin
berkongsi cerita ini khas untuk tatapan anda. Harapan saya agar apa yang dituliskan
mampu memberi sedikit hiburan dan dapat mengambil mesej yang baik untuk dipraktikkan.
Selamat membaca....
Inarz 2012
PUTERI
BONGSU DAN JELMAAN HANTU PAKU
Olahan : Inarz
BAB 1
Pada zaman dahulu terdapat
sebuah negeri yang diperintah oleh Tuanku Sultan Zulkarnain shah yang amat
masyhur. Hasil dari perkongsian hidup bersama permaisurinya Tengku Delima, Baginda dikurniakan tujuh orang
puteri yang cantik. Kesemua puteri baginda diberikan kasih sayang dan dijaga
dengan segala kecukupan. Sungguh pun begitu keenam-enam puteri baginda
mempunyai minat yang sama iaitu sentiasa berseronok dan bersukaria kecuali Puteri
yang ke tujuh iaitu Tengku Nilam Bongsu. Walau pun begitu Tuanku Sultan
Zulkarnain Shah amat menyayangi kesemua
puteri-puterinya dan tidak pernah membezakan sayang terhadap mereka bertujuh.
Tengku Nilam Bongsu pula diakui
amat berbeza kerana sejak dari dalam kandungan lagi Tengku Permaisuri Delima
telah mendapat mimpi pada suatu malam bahawa seorang wanita hadir di dalam
mimpinya dengan berpakaian seperti seorang puteri menyatakan bahawa anak yang
dikandungnya adalah puteri yang
terpilih. Namun Tengku Permaisuri Delima tidak mengendahkan mimpi tersebut
sehinggalah Tengku Nilam Bongsu dilahirkan dan membesar seperti anak-anak yang
lain. Pun begitu Baginda Sultan dan Tengku Permaisuri Delima mengakui bahawa
Tengku Nilam Bongsu amat istimewa perwatakkannya dan lebih rapat dengan
ayahanda serta bondanya. Kalau tiada di istana, Tengku Nilam Bongsu lebih
selesa berada di taman menikmati keindahan bunga-bungaan yang cantik. Tengku Nilam
Bongsu juga seorang yang suci hati serta lemah lembut. Satu tabiat Tengku Nilam
Bongsu ialah suka berinteraksi dengan binatang dan tumbuh-tumbuhan kerana percaya
dengan kata-kata bondanya bahawa semua binatang dan tumbuh-tumbuhan adalah
pendengar yang setia. Tengku Nilam Bongsu yakin bahawa binatang dan
tumbuh-tumbuhan juga bernyawa cuma tidak boleh berfikir dan berkata-kata
seperti manusia. Semua kekandanya selalu mengejek perbuatan Tengku Nilam Bongsu
yang suka bercakap seorang diri itu namun Tengku Nilam Bongsu tidak
menghiraukan ejekan tersebut kerana dia lebih seronok begitu untuk menghiburkan hatinya.
Berbeza dengan puteri-puteri
yang lain, mereka lebih mementingkan diri sendiri. Selain dari itu mereka juga
tidak suka jika Tengku Nilam Bongsu menyertai mereka kerana adinda mereka tidak
seperti mereka. Mereka sentiasa menaruh perasaan benci dan cemburu apabila melihat
Tengku Nilam Bongsu bermanja dengan ayahanda dan bonda mereka. Mereka menyangka
Ayahanda dan Bonda mereka memberikan lebih kasih sayang berbanding dengan
mereka berenam. Mereka selalu mencari jalan untuk menyingkirkan Tengku Nilam
Bongsu tetapi oleh kerana pemikiran yang cetek maka rancangan mereka selalunya
gagal. Jika sesekali Tengku Nilam Bongsu menyertai mereka bermain bersama-sama
seringkali dia dibuli. Namun Tengku Nilam Bongsu tidak pernah bersangka buruk
malahan sangat sayang kepada semua kekanda-kekandanya. Bagi Puteri Bongsu apa sahaja
yang dilakukan oleh kekandanya hanyalah guarauan semata dan tidak pernah
berkecil hati sedikit pun.
Pada satu hari Tuanku Sultan
Zulkarnain Shah dikunjungi dua orang utusan yang dihantar oleh Sultan Noman
yang memerintah sebuah negeri di seberang lautan. Raja tersebut menghantar
utusan untuk meminang salah seorang puteri yang bertujuh untuk dijodohkan
dengan putera sulong baginda. Selain dari itu hasrat Raja Noman agar perkahwinan
antara keduanya dapat mengeratkan hubungan antara dua negeri yang telah lama
renggang. Baginda dan permaisuri amat runsing memikirkan siapakah calon yang
sesuai dari ke tujuh-tujuh puteri baginda. Mana
mungkin baginda dapat melepaskan puteri-puteri kesayangan baginda ke
negeri yang jauh di seberang lautan. Sudahlah jauh diperantauan, entahkan bila
dapat bersua.
”Wahai Adinda kesayangan Kanda, apa pandangan dinda tentang perkara ini”. Baginda Sultan cuba meminta pendapat permaisurinya.
”Ampun Tuanku, sebenarnya dalam hati dinda ini
amat berat hendak melepaskan salah seorang dari mereka”.
”Tetapi dinda perkara ini harus segera kita fikirkan demi menjaga kemasyhuran negeri ini dan juga rakyat jelata”.
”Walaupuan berat di jiwa namun dinda amat faham
dengan keadaan ini kanda. Dinda akur dengan segala keputusan kanda”.
”Kanda juga tidak boleh menolaknya dikhuatiri
datang musibah pula kepada rakyat dan negeri”.
”Usahlah digusarkan kanda. Mana baik difikiran
kanda, dinda menurut sahaja”.
”Betapa senang hati kanda mendengar kata-kata
dinda, tetapi kanda rungsing siapakah yang sesuai kita jodohkan dengan Putera Baginda
Raja Noman itu?”.
”Dinda pun tidak tahu puteri yang manakah paling
sesuai kanda. Dinda beranggapan puteri-puteri kita belum bersedia untuk
dijadikan isteri kepada mana-mana putera pun. Dinda khuatir kalau-kalau anakkanda
kita membuat kesalahan di negeri orang nanti”.
”Apapun anggapan dinda terhadap mereka, kita terpaksa
melepaskan salah seorang dari mereka”.
”Kalau ikutkan mestilah Puteri kita yang Sulong
kerana Putera baginda anakanda yang Sulong juga kanda”.
”Entahkan sesuai atau tidak. Walaupun berat di
hati kanda ini, kanda terpaksa buat keputusan segera”.
Dalam pada itu, Tengku Nilam Sulong telah pun
mengetahui perkara tersebut semasa kedatangan dua utusan mengadap Sultan.
Tengku Puteri Sulong mencuri dengar perbualan Baginda dengan dua utusan
tersebut. Tengku Nilam Sulong dengan riang memaklumkan kepada semua adindanya
kecuali Tengku Nilam Bongsu. Tengku Nilam Sulong bukanlah gembira kerana bakal
disunting tetapi gembira kerana dia mendapat satu ilham yang jauh lebih bagus
dari perkara itu.
Selang sehari kemudian ke semua puteri raja dititah mengadap Sultan, mereka bertujuh segera mengadap Baginda Sultan Zulkarnain Shah. Baginda Sultan Zulkarnain Shah segera menyatakan hasrat Baginda Raja Noman kepada semua puteri-puterinya. Sementara itu ke tujuh-tujuh puteri baginda berdebar-debar menantikan keputusan Baginda untuk memilih siapakah yang dipilih untuk dijodohkan dengan Putera Sulong Raja Noman. Baginda menyatakan dengan berat hati bahawa Tengku Nilam Sulong telah dipilih Baginda untuk dijodohkan dengan Putera Raja Noman memandangkan Tengku Nilam Sulong adalah anakanda yang paling Sulong dari ke tujuh-tujuh puteri Baginda. Setelah mendengar titah Baginda, tiba-tiba Tengku Nilam Sulong menangis teresak-esak dan menuduh bahawa Baginda tidak sayang kepadanya.
”Anakanda tahu ayahanda tidak sayang pada anakanda
sebab itulah ayahanda memilih anakanda”. Tengku Nilam Sulong mengatur
kata-kata. Puteri-puteri yang lain mengiyakan kata-kata kekandanya. Tengku
Nilam Sulong juga menyatakan bahawa selama ini dia tidak diberi peluang untuk
berbakti kepada baginda. Puteri Nilam Sulong sengaja mencari alasan agar dia
tidak dihantar ke negeri Raja Noman. Apabila Banginda mendengar kata-kata
Anakandanya Tengku Nilam Sulong, membuatkan baginda berada dalam keadaan yang
serba salah. Baginda memandang wajah puteri-puteri Baginda dengan perasaan yang
teramat sayang dan sukar. Tengku Nilam Bongsu juga kasihan dengan Tengku Nilam
Sulong dan lebih simpati kerana melihat ayahandanya dalam keadaan yang serba
salah.
”Siapa kata ayahanda tidak sayang.., ayahanda
sayang kesemuanya”.
”Selama ini kami sangat sayang kepada ayahanda dan
bonda walaupun kami sedar, kami selalu menyakiti hati ayahanda sebab itulah
ayahanda berhasrat menghantar kami seorang demi seorang keluar dari istana.
Kami juga tahu bahawa ayahanda selama ini melebihkan sayang kepada Tengku Nilam
Bongsu!”. Tengku Nilam Dua cuba memerangkap Baginda. Tengku Nilam Bongsu
terkejut mendengar kata-kata kekandanya yang kedua. Tengku Nilam Dua memang
terkenal dengan kelancangan kata-kata berbanding dengan yang lain.
”Hari ini Kanda sulong esok lusa entah-entah giliran
kami berlima pula”. Tengku Nilam Tiga mencelah. Puteri-puteri yang lain mengangguk
tanda menyokong kekandanya yang Ketiga. Tengku Nilam Bongsu hanya mampu
menundukkan kepala tidak berani bertentang mata dengan kekandanya. Timbul rasa
bersalah dan kesal di dalam hati Tengku Nilam Bongsu. Sepatutnya sebagai anak
mereka tidak boleh sekali-kali membantah kata-kata kedua Ayahanda dan Bonda. Tengku
Nilam Bongsu juga tidak tahu niat sebenar kekanda-kekandanya.
”Ayahanda tidak pernah berniat begitu terhadap
anakanda semua”. Suara Baginda memujuk.
”Betulkah ayahanda, Kalau begitu banyak mana
ayahanda sayang anakanda?”. Tengku Nilam Sulong bertanya kepada baginda.
”Aa..aa..Ayahanda sayang lebih dari segala-galanya
dan....”.
”Kalau ayahanda sayang lebih kepada anakanda maka
ayahanda tidak boleh memilih anakkanda menjadi isteri kepada Putera Sulong Raja
Noman itu kerana anakanda perlu sentiasa berada dengan ayahanda dan Bonda.
Bukankah begitu Bonda?”. Tengku Puteri Sulong terus mencelah jawapan Baginda
membuatkan kata-kata Baginda terhenti.
”Ye kami pun sama juga dengan Kekanda Sulong, Kami
pun perlu sentiasa bersama dengan ayahanda dan Bonda”. Kata Tengku Nilam Dua.
Baginda Sultan makin runsing dan serba salah apabila mendengar kata-kata
anakandanya.
”Hah! Dinda Bongsu kenapa diam sahaja.
Tengku Nilam Enam Bersuara.
”Dinda....pun sama”. Tengku Nilam Bongsu
bercakap dengan suara yang perlahan. Dia sedar bahawa ayahandanya sedang dalam
keadaan yang serba salah. Tengku Nilam Bongsu amat kasihan melihat ayahandanya
yang terpaksa mengikutkan kerenah kekanda-kekandanya. Barulah Tengku Puteri bongsu
sedar rupa-rupanya segala perilakunya selama ini telah mengundang rasa tidak
senang kepada kekanda-kekandanya yang berenam.
”Oleh kerana anakanda sayangkan ayahanda
dan bonda serta rakyat jelata, anakanda sanggup dihantar ke Negeri Raja Noman
untuk dijodohkan dengan Puteranya”. Tengku Nilam Bongsu sanggup
menawarkan diri semata-mata untuk menyelamatkan maruah ayahandanya. Tengku
Nilam Bongsu tidak mahu ayahandanya susah hati dan terpaksa membuat keputusan
yang akan dibenci oleh ke enam-enam kekandanya.
”Anakanda Tengku Nilam Bongsu! Anakanda
masih muda?”. Tengku Delima terkejut dengan pengakuan Tengku Nilam Bongsu.
”Anakanda dengan rela hati Bonda”. Tengku
Nilam berkata jujur.
”Tidak menyesalkah anakanda dengan
keputusan anakanda ini”.
”Ayahanda jangan risau, anakanda buat
keputusan demi Ayahanda dan Bonda serta negeri ini”.
”Sungguh mulia hati anakanda, kerana
sanggup mengadaikan perasaan demi maruah keluarga”. Baginda Sultan menahan
sebak kerana terpaksa melepaskan Tengku Nilam Bongsu. Tengku Permaisuri Delima
memeluk erat puterinya yang bongsu dengan penuh kasih sayang dan hiba. Tengku
puteri yang lain memandang benci dengan keprihatinan ayahanda dan bonda mereka
terhadap Tengku Nilam Bongsu walaupun di dalam hati mereka berbuah rasa gembira
yang teramat sangat kerana akhirnya berjaya juga menyingkirkan Puteri Nilam
Bongsu dari istana sejak Tengku Nilam Bongsu dilahirkan. Oleh kerana Tengku
Nilam Bongsu telah menawarkan diri maka puteri yang lain dibenarkan beredar
dari situ. Dengan perasaan yang gembira keenam-enam puteri berlalu. Tinggallah
baginda dan permaisuri bersama dengan Tengku Nilam Bongsu menyambung bicara.
”Ikutkan hati ayahanda ini, anakanda tiada
langsung dalam fikiran ayahanda untuk di hantar ke Negeri Raja Noman. Ayahanda
rasa belum masanya anakanda berpisah dengan ayahanda dan bonda. Ayahanda juga
tidak mahu anakanda pergi namun apalah daya ayahanda kerana hanya anakanda
sahaja yang sanggup menawarkan diri maka ayahanda dengan berathati terpaksa akur dengan ketentuan ini. Ayahanda akan perintahkan memanda menteri untuk
menyiapkan pekerja istana dan kelengkapan kapal untuk menghantar anakanda ke
sana”. Baginda bertitah dengan berat hati.
”Anakanda mohon permintaan ayahanda agar
tidak menyediakan kapal yang besar untuk anakanda cukuplah untuk anakanda
seorang sahaja”. Tengku Nilam Bongsu membuat permintaan.
”Kenapa pula anakanda, negeri Raja Noman
bukanlah dekat untuk anakanda belayar ke sana seorang diri”. Baginda dan tengku
permaisuri lagi bertambah terkejut dengan permintaan pelik Tengku Nilam Bongsu.
”Oleh kerana jauhlah anakanda membuat
permintaan ini ayahanda, anakanda tidak mahu ada dikalangan pekerja istana meninggalkan
keluarga semata-mata untuk menghantar anakanda dan entah bila pula mereka akan
pulang ke pangkuan keluarga”. Tengku Nilam Bongsu menerangkan apa yang tersirat
di dalam hatinya.
”Sungguh berat permintaan anakanda dan
tidak sanggup ayahanda menunaikan hasrat anakanda ini”. Baginda bertambah sedih
kerana tidak menyangka anakandanya yang seorang ini amat berjiwa rakyat dan
sungguh bertanggung jawab ke atas rakyat serta negeri yang diperintahnya.
”Ini sahaja permintaan anakanda sebelum
anakanda berangkat ke sana. Ayahanda jangan risau akan keselamatan anakanda,
tahulah anakanda menjaga diri anakanda nanti”.
”Wahai anakanda Nilam Bongsu kenapakah ini
permintaan yang anakanda pohon. Permintaan anakanda ini membuatkan hati bonda
bertambah gundah gulana”.
”Wahai bonda kesayangan anakanda,
janganlah terlalu bersedih hiba. Anakanda tidak akan apa-apa bonda”.
” Apalah daya Bonda. Bonda berdoa agar
anakanda dilindungi sentiasa”.
Akhirnya hari yang dinanti telah tiba. Segala
kelengkapan dan bekalan makanan telah disediakan di dalam kapal kecil Tengku
Nilam Bongsu. Tengku Nilam Bongsu juga telah bersedia untuk berhijrah ke Negeri
Raja Noman.
”Ingat ye pesan Bonda, sentiasa berbuat
baik dengan orang. Satu lagi kalau anakanda terjumpa sekelompok sayur pucuk
paku yang hidup ditepi gua, jangan
dipetik takut-takut mengundang bahaya”. Tengku Permaisuri Delima berpesan
kepada Tengku Nilam Bongsu.
”Baiklah Bonda”.