Klik web dan terima duit dengan login ke
Assalammualaikum kepada semua pembaca yang budiman,
Saya kira sudah pasti anda tertunggu-tunggu kemunculan cerita Puteri Bongsu dan Jelmaan Hantu Paku Bab 2 di dalam blog ini. Terima kasih saya kerana anda sabar menantikan sambungan cerita ini. Terlebih dahulu saya mohon maaf kerana membuat semua pembaca menunggu lama untuk mengetahui apa kesudahan cerita pengembaraan Puteri Bongsu dan Jelmaan Hantu Paku ini. Oleh yang demikian, saya persembahkan sambungan cerita dari Bab 1 yang terdahulu khas untuk anda semua. Semoga sambungan cerita ini dapat memberi keceriaan kepada semua pembaca....
PUTERI
BONGSU DAN JELMAAN HANTU PAKU
BAB 2
Olahan : Inarz
Pemergian Puteri Nilam Bongsu
berhijrah ke Negeri Seberang Lautan iaitu Negeri Lindungan telah menjadi buah
mulut rakyat jelata dan ditangisi kerana mereka tidak akan dapat lagi melihat Tengku
Nilam Bongsu yang baik hati lagi cantik hadir ke tempat mereka. Maka
berduyun-duyunlah rakyat jelata datang untuk melihat puteri kesayangan mereka
buat kali terakhir. Rakyat jelata tidak mahu melepaskan peluang untuk
bersalaman dan memeluk Tengku Nilam Bongsu. Pemergian Tengku Nilam Bongsu
ditangisi rakyat jelata seperti Tengku
Nilam Bongsu tidak akan balik semula ke negeri itu. Rakyat juga sedar Negeri
Raja Noman bukanlah satu negeri yang hampir dengan negeri mereka. Namun bagi
puteri-puteri yang berenam, mereka amat gembira atas kejayaan menyingkirkan Tengku
Nilam Bongsu dari baginda Sultan dan jauh dari pandangan mereka. Dalam fikiran
mereka Tengku Nilam Bongsu akan mati karam di tengah lautan sebelum sampai ke
Negeri Raja Noman. Begitu kejam perasaan mereka berenam, bukan sahaja ingin
menyingkirkan Tengku Nilam Bongsu dari hidup mereka malah akan lebih senang
hati jika Tengku Nilam Bongsu hilang di dunia ini. Begitulah bencinya mereka
kepada Tengku Nilam Bongsu sehingga menghukum dalam diam walhal Tengku Nilam
Bongsu tidak pernah berbuat salah kepada mereka berenam.
Setelah bersalaman dan
berpelukan bersama ayahanda dan bonda, tibalah masanya Tengku Nilam Bongsu melangkah
naik ke kapal untuk memulakan pelayaran. Walaupun sedih di hati namun Tengku
Nilam Bongsu nekad untuk meneruskannya. Demi Ayahanda Bonda serta rakyat jelata
Tengku Nilam Bongsu sanggup pertaruhkan hidupnya bersama orang yang belum lagi
dikenali. Tengku Nilam Bongsu berlayarlah seorang
diri tanpa rasa takut. Dia bertekad untuk hadapi apa sahaja cabaran yang akan
datang sepanjang dalam pelayaran menuju ke Negeri Raja Noman. Untuk menghilangkan
rasa kesunyian dia menyanyi dengan suara yang merdu mengalunkan lagu rindu.
”Diri-diri
atas jambatan
Hendak
melihat pelampung hanyut
Orang
di sini dalam kerinduan
mengenang-ngenang orang yang jauh”.
Apabila habis sahaja menyanyi, tiba-tiba kapal
Tengku Nilam Bongsu meluncur lebih laju
membelah lautan. Tengku Nilam Bongsu sangat terkejut dengan keajaiban tersebut. Dia berhenti mengalunkan lagu tersebut seketika untuk meneliti pergerakan kapalnya adakah satu kebetulan atau keajaiban. Tidak semena-mena kapalnya terhenti dengan tiba-tiba dan meluncur seperti sedia kala mengikut tiupan angin dan layar. Unutk memastikan perkara tersebut, Tengku Nilam Bongsu mengalunkan semula lagu yang dinyanyikan tadi dan benarlah bahawa kapalnya menjadi lebih laju apabila dia mengalun lagu. Pada awalnya Tengku Nilam Bongsu gementar namun selepas beberapa ketika perkara yang tidak diingini berlaku membuatkan hatinya gembira. Tengku Nilam Bongsu akhirnya dapat menyesuaikan diri dan dia amat selesa
dengan keadaan itu. Setelah jauh berlayar nyanyian Tengku Nilam Bongsu terhenti
kerana dia melihat sesuatu yang jarang-jarang ditemui di negerinya. Kapalnya juga berhenti belayar seolah-olah tahu apa yang berlaku. Dari jauh pandangan Tengku Nilam Bongsu
terarah kepada sekelompok tumbuhan yang menghijau. Hati Tengku Nilam Bongsu
terdetik untuk mendekatinya dan barulah dia tahu bahawa tumbuhan tersebut
adalah pucuk paku. Semakin dekat semakin takjub dia melihat pucuk paku tersebut
tumbuh subur menghijau dan segar saujana mata memandang hingga ke pintu gua
sehingga membuatkan Tengku Nilam Bongsu terlupa akan pesan Bondanya supaya
jangan sesekali menghampiri kawasan tersebut apatah lagi memetik batang pucuk
paku yang ada di situ.
Tengku Nilam Bongsu tidak sedar bahawa kehadirannya diintip dan telah diketahui lebih awal lagi sejak terdengar
kemerduan nyanyian Tengku Nilam Bongsu. Gerak geri Tengku Nilam Bongsu diperhatikan.
Gua tersebut didiami oleh Jin yang ditugaskan untuk menjaga sayur pucuk paku
yang tumbuh meliar. Penduduk di situ menggelarkan mereka sebagai Hantu
Paku. Hantu Paku tersebut berpasangan dan telah lama mendiami gua itu sehingga mempunyai
anak yang ramai. Hantu-hantu paku itu tidak pernah meninggalkan gua tersebut
walaupun sehari kerana tugas mereka adalah untuk menjaga pucuk paku yg ada di
situ. Pun begitu anak sulong Hantu Paku tersebut tidak suka dengan kehidupan
yang suram dan gelap di gua. Dia ingin hidup bebas seperti manusia. Dia
sentiasa menantikan peluang untuk keluar dari tempat itu dengan cara mengikut
orang yang datang memetik pucuk paku di situ. Namun tiada sesiapa pun sudi
memetik pucuk paku di situ walaupun pucuk paku tumbuh subur kerana penduduk
berhampiran sudah tahu tempat itu berpenunggu. Namun tidak bagi Tengku Nilam
Bongsu. Dia tidak tahu tempat itu dijaga.
Oleh
kerana perbualan hantu paku ini dalam dailek sengau dan sukar difahami maka
penulis telah menterjemahkannya dalam bahasa yang boleh difahami pembaca. Jadi
terpulang kepada pembaca untuk membacanya dalam dailek biasa atau dailek
sengau.
”Oi..emaknya! Ada orang berhentikan kapal
di sini nampaknya. Dah lama kita tidak tengok orang berhentikan kapal di sini”.
Kata hantu paku tua jantan kepada hantu paku tua betina.
”Ye ke bang, harap-harap dia petik
pucuk paku tu. Nanti bolehlah kita makan dia.
“Jangan
mak aku nak ikut dia naik ke kapalnya. Aku nak keluar dari tempat yang
suram ni”. Kata anak sulong hantu paku. Hantu paku tua jantan tersentak.
“Eh!,
kenapa pulak engkau hendak mengikutnya. Engkau sepatutnya warisi tugas aku
untuk menjaga pucuk-pucuk paku yang ada di sini. Memang dah itu tugas keturunan
kita. Kalau kita engkar padah menimpa kita sekeluarga”. Tempelak hantu paku tua
jantan dengan bengisnya.
“Buat
apa duduk di sini sampai ke tua. Tak ada apa yang bolah aku cari di sini. Kalau
aku keluar dari tempat ni aku nak hidup senang kaya raya dan Khawin dengan anak
raja”. Anak sulong hantu paku membentak dan beragan.
“Engkau tau tak apa yang engkau cakap kan ni?”. Hantu paku tua jantan bertambah marah
kepada anak sulongnya.
“Anak
kita yang lain kan ada lagi bang! Kesian pulak saya tengok hari-hari menunggu
orang datang. Katanya dia nak keluar dari tempat ni manalah tahu entah-entah esok lusa dia dapat kahwin dengan anak raja”. Hantu Paku Tua Betina mencelah untuk
meredakan kemarahan Hantu Paku Tua Jantan. Hantu Paku Tua Jantan menarik nafas
panjang. Pening kepalanya memikirkan anak sulongnya itu.
“Awak
ingat anak kita tu cantik sampai nak kahwin dengan anak raja?. Raja mana yang
nak ambik dia jadi menantu”. Tempik hantu paku tua jantan.
“Awak
ni kenapa? Tiba-tiba nak marah saya pulak”. Hantu paku tua betina menyinga.
“Mestilah
saya marah. Saya kena pertahankan warisan kita ni. Kalau bukan anak kita yang
waris tugas kita siapa lagi nak jaga pucuk-pucuk paku di sini. Kalau dia keluar
dari tempat ni dah tentu anak-anak kita yang lain pun nak ikut jejak langkah
dia. Saya tak izinkan dia”. Hantu paku tua jantan berkeras.
“Ah!
Sudahlah bang saya izinkan dia yang penting bila dia keluar dari tempat ni
nanti untung-untung dapat kahwin dengan anak raja dan jadi kaya raya. Saya tak
kisah kalau dia tak nak balik ke sini lagi lepas ni asalkan saya tahu dia hidup
bahagia kaya raya jadi menantu raja”. Bentak hantu paku tua betina. Hantu paku
tua jantan gelengkan kepala kerana takut memikirkan padah akan menimpa mereka
nanti. Mereka sering berselisih pendapat walaupun mengenai perkara kecil.
Itulah kehidupan hantu paku tidak pernahnya aman.
Dalam pada itu Tengku Nilam Bongsu tidak
dapat menahan jiwanya. Akhirnya jari jemari Tengku Nilam Bongsu mencapai
pucuk-pucuk paku tersebut satu demi satu sehinggalah mendapat secekak jarinya. Setelah
puas memetik pucuk-pucuk paku tersebut Tengku Nilam Bongsu tersedar atas
kesalahannya. Tengku Nilam Bongsu amat susah hati kerana telah engkar dengan
pesan bondanya. Namun hatinya kembali tenang kerana tiada apa yang tidak ingin
berlaku kepadanya setelah beberapa ketika. Setelah berpuas hati Tengku Nilam
Bongsu bersiap-siap untuk berlayar kembali dan menyanyi lagu yang merdu untuk
menyambung pelayarannya. Tanpa disedari Tengku Nilam Bongsu, anak hantu paku yang sulong telah menjelma menyerupai seorang wanita yang berpakaian
seperti orang yang baru keluar dari lubuk ikan dengan perhiasan diri dari
tempurung. Tiba-tiba jelmaan hantu paku itu duduk mengadap Tengku Nilam Bongsu.
Tengku Nilam Bongsu terkejut dan tergamam hingga menyebabkan kapalnya berhenti
berlayar. Tengku Nilam Bongsu amat takut dengan kehadiran hantu paku tersebut
dan menggigil. Barulah dia tahu akan akibat memetik pucuk paku itu tadi.
”Engkaukah yang memanggil aku datang”. Kata hantu
paku tersebut dengan suara yang tegas tetapi masih dalam dailek sengaunya.
”Hh..amm..baa...t..tak pernah panggil tuan hamba”.
Kata Tengku Nilam Bongsu dengan perasaan yang takut.
”Habis tu kenapa petik pucuk paku tanpa kebenaran
aku dan keluarga aku”.
”Hahammm.ba.. tidak tahu pucuk paku tersebut milik
tuan hamba dan ham..ba minta maaf”. Tengku Nilam Bongsu memberanikan diri.
Barulah dia tahu perempuan yang berada di hadapannya adalah hantu paku yang
pernah bondanya ceritakan. Tengku Nilam Bongsu juga baru tahu bahawa hantu paku
ini berkeluarga. Tengku Nilam Bongsu juga tahu bagaimana untuk mengambil hati
hantu paku ini kerana bondanya pernah berkata supaya jika terserempak dengan
hantu paku maka dia hendaklah menuruti apa kemahuan hantu paku tersebut supaya
hantu paku tidak memakannya.
”Ke mana engkau hendak pergi dan sungguh berani
berlayar seorang diri di kawasan ini”. Kata hantu paku. Tengku Nilam Bongsu
memperkenalkan diri dan menceritakan tujuannya berlayar seorang diri. Mata
hantu paku bersinar kerana hasratnya akan tercapai juga akhirnya jika dia
memakan Tengku Nilam Bongsu dan menyamar menjadi Tengku Nilam Bongsu untuk
berkahwin dengan anak raja yang Tengku Nilam Bongsu ceritakan.
”Oleh kerana engkau telah membuat kesalahan maka
aku akan makan engkau”. Gertak hantu paku.
”Em..nanti dulu!...kalau tuan hamba makan hamba
bagaimana tuan hamba nak suruh kapal hamba ini berlayar. Kapal hamba ini hanya
akan berlayar jika hamba menyanyikan lagu”. Tengku Nilam Bongsu mendapat satu
akal.
”Aku sudah dengar lagu yang engkau nyanyi tadi”.
Hantu paku tersebut menyanyikan lagu dalam bahasanya sendiri dalam dailek
sengau.
”Diri-diri
atas jambatan
Nak
tengok pelampung hanyut
Orang
di sana kurus tak makan
Orang
di sini meleleh air mata”.
Tengku Nilam Bongsu ternganga dan hampir ketawa kerana gelihatinya mendengar nyanyian hantu paku tersebut dengan dialek sengaunya yang sungguh membingitkan telinganya. Namun Tengku Nilam Bongsu terpaksa menahan ketawanya kerana takut
dimakan hantu paku. Kalaulah bukan hantu paku yang sedang menyanyi itu sudah tentu ketawa Tengku Nilam Bongsu terbarai mengeletek. Nyanyian hantu paku sedikit pun tidak membuatkan kapal
bergerak malah tidak berganjak sedikit pun. Hantu paku sangat marah. Tengku
Nilam Bongsu mendapat akal lalu menawarkan perjanjian bahawa jika dia menyanyikan
lagu tersebut maka hantu paku tidak boleh memakannya sehingga sampai ke
destinasi yang dituju. Hantu paku bersetuju dengan tawaran Tengku Nilam Bongsu.
Maka berlayarlah Tengku Nilam Bongsu dengan hantu paku. Nyanyian Tengku Nilam Bongsu yang merdu membuatkan hantu paku dibuai perasaan yang amat teruja untuk berkahwin dengan anak raja.
Tiba-tiba hantu paku
ternampak orang memancing ikan. Dia menyuruh Tengku Nilam Bongsu berhenti
menyanyi dan kapal pun berhenti.
”Oi..orang memancing ikan! Mana elok
subang tempurung ke subang emas?”. laung hantu paku kepada orang yang sedang memancing
ikan. Orang yang sedang memancing tergamam dan cuba memahami perkataan yang ditanya oleh hantu paku itu. Orang yang sedang memancing tersebut tidak mengetahui siapakah gerangan yang bertanya namun segera menjawab.
”Cantiklah subang emas”. Kata orang memancing
ikan. Apabila mendengar kata-kata orang itu tadi maka hantu paku pun berkata
dengan keras kepada Tengku Nilam Bongsu sambil mencampakkan pakaian dan
perhiasan tempurung kepada Tengku Nilam Bongsu untuk ditukarkan dengan pakaian
dan perhiasan yang Tengku Nilam Bongsu pakai.
”Bak sini subang emas tu... ambikkk... subang tempurung ni
koto nan ngoto...... tu”. Hantu paku menempik dan membentak Tengku Nilam Bongsu. Tengku Nilam Bongsu terkejut sekali lagi dan segera menurut arahan Hantu Paku tersebut. (koto nan ngoto tu maksudnya yang tak elok
lagi buruk). Malah pertukaran itu bukanlah subang sahaja tetapi keseluruhan
pakaian dan perhiasan dari hujung rambut hinggalah ke hujung kaki mereka berdua harus di tukar dengan segara. Tengku Nilam
Bongsu terpaksa serahkan segala pakaian dan perhiasan dirajanya dan memakai pakaian buruk yang dipakai oleh hantu paku termasuklah segala perhiasan yang diperbuat dari tempurung kelapa dan begitulah juga hantu membuat perkara yang sama. Setelah selesai, Maka Sukalah hati hantu paku kerana dia kelihatan
seperti puteri raja. Hantu paku segera menyuruh Tengku Nilam Bongsu menyanyi
untuk meneruskan pelayaran. Hantu paku tersebut dilamun perasaan dan berangan-angan untuk berkahwin dengan anak raja. Maka dia boleh berbangga dengan ayahnya iaitu si Hantu Paku Tua Jantan. Kemudian lamunannya terhenti seketika tatkala dia ternampak dari jauh orang yang sedang menangguk ikan. Dia menyuruh Tengku Nilam
Bongsu berhenti menyanyi dan kapal pun berhenti. Oleh kerana, hati berbelah
bahagi maka dia bertanyakan soalan yang sama kepada orang yang sedang menangguk
ikan.
”Oi..orang menangguk ikan! Mana elok
subang tempurung ke subang emas?”. laung hantu paku kepada orang yang sedang
menangguk ikan tersebut. Orang yang menangguk ikan tergamam dan takut sungguh apabila mendengar suara sengau dan garau sehingga
tangguk yang dipegang terlepas dari tangannya. Si penangguk ikan tahu bahawa
yang bercakap itu adalah hantu paku kerana dailek sengaunya dan dia tahu bahawa
wanita yang duduk disebelahnya yang hodoh rupanya pasti seorang manusia yang
terpaksa menurut kehendak hantu paku kalau tidak dituruti hantu paku pasti akan
memakan wanita itu. Dia juga tahu hantu paku adalah penunggu yang
telah hidup beratus ratus tahun selagi pucuk paku tumbuh di bumi cuma hantu
paku tidak tahu membezakan yang mana cantik dan yang mana buruk. Oleh kerana itu
timbul rasa kasihan kepada si pemakai perhiasan tempurung maka dia pun
menjawab.
”Cantiklah subang tempurung”. Katanya kepada hantu
paku. Apabila mendengar kata-kata orang itu tadi maka hantu paku pun menjadi
marah lalu mencampakkan segala pakaian dan perhiasan emas yang dipakainya
kepada Tengku Nilam Bongsu untuk ditukarkan kembali dengan pakaian dan
perhiasan tempurung.
”Bak sini subang tempurung tu... ambikkk... subang emas ni
koto nan ngoto..... tu”. Bentak hantu paku kerana dia telah merasa ditipu oleh
si pemancing ikan. Maka pertukaran berlaku sekali lagi. Kali ini Tengku Nilam
Bongsu kelihatan seperti puteri semula.
Hantu paku segera menyuruh Tengku Nilam Bongsu terus
menyanyi untuk meneruskan pelayaran. Dalam
hati Tengku Nilam Bongsu berbunga kerana telah memasuki negeri Raja Noman dan
dari jauh kelihatan Istana Raja Noman tersergam indah. Hantu paku tidak
mengetahui perkara tersebut. Namun tiba-tiba hantu paku ternampak orang sedang menjala
ikan. Dia menyuruh Tengku Nilam Bongsu berhenti menyanyi dan kapal pun
berhenti. Dia sekali lagi merasa was-was dengan pakaian dan perhiasan yang di
pakainya. Dalam fikirannya mungkin dia ditipu oleh si penangguk ikan seperti si
pemancing ikan menipunya. Lalu dia pun melaung kepada si penjala ikan pula.
”Oi..orang menjala ikan! Mana elok
subang tempurung ke subang emas?”. laung hantu paku kepada orang yang sedang menjala
ikan. Orang yang sedang menjala ikan terkejut dan berhenti menjala lalu menjawab.
”Cantiklah subang emas”. Kata orang menjala ikan itu. Apabila mendengar kata-kata orang itu tadi maka hantu paku pun berkata
dengan keras kepada Tengku Nilam Bongsu sambil mencampakkan pakaian dan perhiasan
tempurung kepada Tengku Nilam Bongsu untuk ditukarkan dengan pakaian dan
perhiasan emas yang Tengku Nilam Bongsu pakai. Tengku Nilam Bongsu amat kecewa
kerana Istana Raja Noman sudah hampir benar dengan tempat mereka berhenti.
”Bak sini subang emas tu ambik subang tempurung ni
koto nan ngoto tu”.
Setelah selesai hantu paku melaung kembali kepada
orang yang menjala ikan tadi.
”Oi..orang yang menjala ikan yang mana satu puteri”. Laung hantu paku lagi. Apabila dilihat 2 orang di atas
kapal seorang buruk dan seorang cantik maka dia berkata bahawa puteri adalah
yang memakai pakaian dan perhiasan emas. Maka Sukalah hati hantu paku. Hantu
paku segera menyuruh Tengku Nilam Bongsu menyanyi untuk meneruskan pelayaran. Tidak lama kemudian sampailah mereka di
istana Raja Noman yang indah dan cantik. Hantu paku mengugut Tengku Nilam
Bongsu supaya tidak memberitahu kepada Raja Noman bahawa dia adalah hantu paku
dan bukannya Tengku Nilam Bongsu. Jika Tengku Nilam Bongsu melanggar arahan
hantu paku akan memakan dirinya dan juga putera sulong Raja Noman. Tengku Nilam
Bongsu terpaksa akur dan menurut segala perintah hantu paku.
Kedatangan Tengku Nilam Bongsu amat
dinanti-nantikan oleh Tuanku Raja Noman dan disambut dengan gilang gemilang. Namun mereka keliru akan kehadiran 2
orang wanita tersebut. Maka mereka berandaian bahawa Tengku Nilam Bongsu adalah
yang memakai pakaian dan perhiasan emas. Hantu paku juga mengatakan bahawa
wanita yang hodoh yang memakai perhiasan tempurung tersebut adalah pembantunya. Mata Tengku Laksana iaitu Putera sulong Raja Noman terus terarah kepada pembantu yang dikatakan. Hatinya terdetik walaupun pakaian dan perhiasannya hodoh dan buruk namun raut wajahnya amat menarik jika diteliti dengan lebih dekat. Timbul rasa ingin tahu di dalam hatinya. Tengku Laksana adalah orang yang akan dijodohkan dengan Tengku Nilam Bongsu dan sudah pasti dia ingin tahu adakah yang hadir di istana ayahandanya itu adalah Tengku Nilam Bongsu puteri kepada Ayahanda Tuanku Sultan Zulkarnain Shah. Tengku Laksana amat hairan kerana ada dua wanita yang dihantar dan benarkah mereka dari sana. Tengku Laksana juga hairan dengan tingkah laku kasar Tengku Nilam Bongsu berbanding dengan pembantunya yang lembut dan sopan. Dia merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan
Tengku Nilam Bongsu tersebut. Dia ingin menyiasat perkara tersebut dan meminta
ayahandanya membenarkan pembantu Tengku Nilam Bongsu tinggal di bawah istana supaya memudahkan Tengku Nilam Bongsu berhubung. Tuanku
Raja Noman bersetuju dengan permintaan putera sulongnya. Maka hantu paku yang sedang menyamar itu dipelawa naik ke istana. Apabila kaki hantu paku melangkah masuk ke istana maka meloponglah mulutnya ternganga kerana melihat keindahan istana Tuanku Raja Noman. Hantu Paku di tempatkan di sebuah bilik yang indah khas untuk seorang puteri raja. Dia dilayan dengan baik oleh seluruh penghuni istana yang mana seperti yang diidam-idamkan olehnya selama ini. Maka timbul rasa riak dalam dirinya kerana kini dia seorang puteri dan akan berkahwin dengan anak raja. Hantu Paku tidak sabar lagi menanti hari bahagianya dan segera menemui Tuanku Raja Noman.
" Ampun Tuanku". Hantu Paku mengangkat sembah.
"Ya anakanda Puteri Nilam, ayahanda kira sudah pasti ada sesuatu yang anakanda perlu katakan sehingga anakanda mengadap ayahanda, katakanlah wahai anakanda. Jangan segan-segan ataupun malu". Tuanku Raja Noman berbicara lagak seorang ayah.
"Emm...Ampun tuanku.. sebenarnya.. anakanda hanya mahu tahu sahaja... agaknya bila anakanda akan disatukan dengan Tengku Laksana bakal suami anakanda itu?". Hantu Paku bertanya tanpa segan silu dan hampir tergeliat lidahnya cuba membetulkan dialek sengaunya. Tuanku Raja Noman tersenyum gembira kerana Tengku Nilam Bongsu sudah tidak sabar lagi diperisterikan. Rasa gembira mengatasi rasa pelik di hatinya. Nampaknya perkara ini akan menjadi lebih mudah.
"Ayahanda akan aturkan secepat yang mungkin untuk anakanda berdua, memang hasrat ayahanda berdua untuk mempercepatkan perkara ini. Anakanda janganlah risau tidak lari gunung dikejar. Buat masa ini anakanda berehatlah dahulu". Tuanku Raja Noman mengeluarkan kata-katanya dengan tenang. Hati hantu Paku berbunga dan meminta diri masuk ke biliknya.
Manakala Tengku Nilam Bongsu yang berada di bawah istana sedang mempersiapkan dirinya untuk mencari jalan supaya hantu paku itu dihapuskan dengan segera. Kalau tidak padah akan menimpa seluruh istana. Sedang Tengku Nilam Bongsu berfikir dia didatangi oleh Tengku Laksana iaitu Putera Sulong Raja Noman yang sepatutnya dikahwini. Tengku Nilam Bongsu tiba-tiba diselubungi perasaan malu dan tidak selesa dengan kahadiran Tengku Laksana ke tempatnya.
"Wahai sipembantu Tengku Nilam Bongsu, siapakan gerangan namamu?". Tengku Laksana menyapa dengan mesra. Tengku Nilam Bongsu menjadi serba salah dengan pertanyaan itu. Dia tertunduk malu lagak seorang puteri bertemu puteranya. Padahal hakikatnya memang begitu. Apakah nama yang perlu dia berikan kepada Tengku laksana sedangkan namanya adalah Tengku Nilam Bongsu. Mana mungkin dia membocorkan rahsia. Tengku Nilam Bongsu tidak berkata apa-apa. Dia menjadi lebih tidak selesa dengan pertanyaan tersebut.
"Sebenarnya tadi beta ingin keluar memburu bersama hulubalang tetapi beta ternampak tuan hamba termenung. Beta kira sudah pasti tuan hamba dalam kesulitan dan perlukan pertolongan".
"Emm..patik tidak apa-apa Tengku. Maafkan patik kerana menyusahkan Tengku". Akhirnya Tengku Nilam Bongsu bersuara. Dia berharap agar Tengku Laksana segera beredar sebelum hantu paku mendapat tahu. Tatkala Tengku Nilam Bongsu bersuara, Tengku Laksana terasa ada sesuatu yang bergelora di dalam jiwanya. Tengku Laksana tidak tahu apakah tanda perasaan itu.
** Apakah makna perasaan Tengku Laksana terhadap pembantu Tengku Nilam Bongsu. Apakah Tengku Laksana berjaya mengetahui siapa Tengku Nilam Bongsu yang sebenarnya dan berjayakah Tengku Nilam Bongsu menghapuskan Hantu Paku tersebut. Adakah segala persoalan akan terungkai di dalam BAB yang seterusnya iaitu BAB 3. Nantikan!
********* JANGAN MARAH HA............. CERITANYA PANJANG LAGI LAH......
http://www.theweeklypay.com/index.php?share=226996
********* JANGAN MARAH HA............. CERITANYA PANJANG LAGI LAH......
http://www.theweeklypay.com/index.php?share=226996
Tiada ulasan:
Catat Ulasan