Hi..! Saya buat Blog ni sebenarnya saje je nak isi masa lapang saya..Harap saya dapat kongsikan apa yang ada dalam blog ini. Selamat membaca.
Ahad, 18 Januari 2015
Sabtu, 17 Januari 2015
DERITA HATI BONDA
PERUTUSAN PENULIS
Assalammualikum Warahmatullahi Wabarakatuh pembaca
semua.
Cerita ini berdasarkan kisah benar. Saya diminta oleh seorang ibu yang sudah lanjut usia untuk menulis kisah sedihnya sebelum
dirinya dijemput Ilahi. Pada mulanya saya memang keberatan kerana saya bukanlah
penulis. Saya juga tidak mahu ketika saya melayan keghairahan saya waktu
menulis cerita ini mungkin saya akan terleka lalu dianggap mencemar perasaan
ibu ini. Lama juga saya ambil masa untuk memulakan ayat pertama cerita ini. Oleh
kerana ceritanya boleh jadi pengajaran pada kita semua, maka saya olah cerita
ini berdasarkan pengalamannya dan menambah mana yang saya rasa perlu tanpa
mendedahkan seluruh identiti sebenar watak-watak di dalam cerita ini dan
menggunakan nama samaran. Saya terpaksa menambah sedikit isi supaya cerita ini
boleh memberi kesan yang mendalam kepada setiap jiwa yang membacanya. Mohon
jangan tanya saya siapa mereka. Moga apa yang saya tuliskan selepas ini akan
memberi manfaat dan pengajaran buat kita semua.
DERITA HATI BONDA
Olahan cerita : Inarz
Sebelum ini saban hari Mak Ziah duduk di sofa bukan untuk
apa-apa hanya merenung jauh ke luar jendela. Sesekali Mak Ziah menjengah ke
luar pintu pagar rumahnya apabila setiap kali enjin kereta berhenti. Perasaan
hampa sentiasa menyelubungi jiwa Mak Ziah apabila kereta tersebut tidak
berhenti di hadapan rumahnya. Mak Ziah
menantikan Sarimah anak perempuan kesayangannya. Sejak pemergian Pak Dani dua tahun yang lalu, belum ada lagi
Sarimah menjenguknya. Hati Mak Ziah tertanya-tanya apa salah dirinya. Dia rindu
untuk memandang wajah anaknya yang seorang itu, dia rindu untuk bermain dengan
cucunya walaupun anak-anak dan cucu-cucunya yang lain sering datang menjenguk
namun perasaan rindunya tidak sama. Hari-hari sebelum ini pun Mak Ziah setia
menunggu kepulangan anak kesayangannya itu. Kadang-kadang tergerak di hati Mak
Ziah untuk menghubungi Sarimah namun panggilannya tidak satu pun dijawab oleh
Sarimah mahupun cucunya. Namun itu semua hanyalah tinggal harapan, Harapan yang mungkin susah untuk digapai lagi.
Sekarang hati Mak Ziah sudah hancur dan kecewa dengan
perbuatan Sarimah. Mak Ziah tidak mahu lagi merenung ke luar jendela. Tidak mahu
lagi mengharap. Tidak mahu parut berdarah kembali. Hari-hari yang terluangnya kini
hanya duduk di sejadah membaca Al Quran untuk arwah suaminya. Mak Ziah mahu
buang jauh-jauh kenangannya dengan Sarimah. Kalau boleh Mak Ziah tidak mahu
ingat lagi tentang Sarimah. Tetapi apakan daya Mak Ziah, hati seorang ibu. Nalurinya
terlalu kuat untuk ditegah. Mak Ziah tetap ingin mengetahui keadaan anaknya
Sarimah. Walaupun hatinya telah dikecewakan.
Bila terasa rindu Mak Ziah cuba menelefon majikan Sarimah untuk bertanyakan
khabar. Pernah juga Sarimah bertukar tempat kerja. Mak Ziah hilang arah.
Ke manakah dia boleh dapatkan berita tentang Sarimah lagi. Di manakah anaknya itu
tinggal setelah bertukar. Mak Ziah cuba juga mendapatkan maklumat dari majikan
lama Sarimah. Mak Ziah meraih simpati majikan lama Sarimah agar dapat
memberikan alamat baru tempat kerja sarimah. Sarimah tidak pernah tahu itu. Mak
Ziah mohon majikan Sarimah agar merahsiakan setiap patah perbualan mereka. Mak
Ziah hanya ingin tahu. Mak Ziah hanya perlu tahu. Mak Ziah rasa lega walaupun
hanya dapat mendengar cerita dari majikan Sarimah. Itu sudah memadai bagi
dirinya. Mana mungkin seorang ibu melupakan anaknya, Mana mungkin hati seorang
ibu mahu melihat anaknya derita, Mana mungkin hati seorang ibu melihat hidup
anaknya terseksa. Mana mungkin seorang ibu membuang anaknya. Tetapi Sarimah
tidak tahu itu semua. Mungkin Sarimah tidak mahu tahu lagi tentang dirinya.
Dahulu Mak Ziah selalu berdoa akan kesejahteraan Sarimah supaya
Sarimah berjaya dalam pelajarannya dan mendapat pekerjaan yang baik. Harapan
Mak Ziah agar Sarimah boleh mengubah nasib keluarga. Hanya dia yang pandai
dalam pelajaran dari adik beradik lelakinya yang lain. Hanya dia yang belajar
tinggi hingga menggulung ijazah dan berjaya mendapat pekerjaan yang baik. Namun
sejak akhir-akhir ini, harapan itu telah terpadam dari hati Mak Ziah. Mungkin harapan
itu akan di bawa hingga ke liang lahad. Mungkin Sarimah tidak pernah peduli itu
semua. Tidak pernah kenang susah payah Mak Ziah dan Pak Dani menghantar Sarimah
belajar tinggi walaupun terpaksa berada dalam kesusahan dan kelaparan. Untuk
Sarimah, Mak Ziah dan Pak Dani sanggup berhabis duit. Sanggup menderita kerana
Sarimah. Adik beradik yang lain juga memberi laluan itu agar hasrat Mak Ziah
dan Pak Dani tercapai. Namun apalah nasib seorang ibu seperti Mak Ziah.
Mak Ziah seolah-olah sudah berputus asa untuk
mengharapkan kasih sayang seorang anak yang selama ini boleh dibanggakan. Tiada
apa yang perlu dibanggakan lagi olehnya kerana kini Mak Ziah tidak lagi tinggal
di rumah peninggalan arwah suaminya setelah dia dan Syahir iaitu abang Sarimah
yang tinggal bersama Mak Ziah terpaksa keluar dari rumah tersebut kerana suami
Sarimah telah menjualkannya kepada orang lain. Itupun setelah Mak Ziah dan
Syahir didatangi sepasangan suami isteri yang mengaku bahawa mereka telah
membeli rumah tersebut dan mereka sudah membuat bayaran penuh kepada suami
Sarimah. Mak Ziah bagai tidak percaya mendengar
kata-kata pasangan tersebut dan memaklumkan dia adalah ibu kandung Sarimah
masakan Sarimah sanggup buat dia begitu tanpa berbincang terlebih dahulu. Pasangan
tersebut sangat terkejut kerana mereka tidak menyangka bahawa rumah itu didiami
oleh ibu dan abang Sarimah sendiri. Namun apalah yang pasangan itu boleh buat
lagi kerana semua proses pembelian telah selesai sepenuhnya. Pasangan tersebut
hanya mampu memanjangkan tempoh untuk Mak Ziah dan Syahir berpindah
keluar. Apa yang lebih mengecewakan Mak Ziah apabila Syahir menerima sepucuk
surat arahan dari peguam 2 minggu selepas itu. Surat dari peguam yang dilantik
oleh suami Sarimah mengarahkan supaya Mak Ziah dan Syahir segera berpindah
keluar jika ingkar mereka akan dikenakan tindakan undang-undang. Surat peguam
itu juga menyatakan bahawa rumah tersebut telah dijual kepada pemilik lain dan
mereka berdua hendaklah berpindah keluar dalam tempoh 2 minggu sahaja dari
tarikh surat tersebut diterima. Maka memang benarlah rumah yang didiami selama puluhan tahun telah dijual oleh anak menantunya sendiri.
Sangat kejam. Terasa gugur jantung Mak Ziah dan berkecai harapannya. Sampai
hati Sarimah dan menantunya memperlakukan dia begitu rupa. Mak Ziah terasa
dirinya dihina oleh anak sendiri. Apalah lagi yang ada di dalam hati Mak Ziah
terhadap Sarimah dan menantunya. Dahulu Sarimah beria benar mengatakan kepada
Mak Ziah dan Pak Dani untuk tinggal sahaja di rumah tersebut walaupun suaminya telah membeli rumah tersebut dari Pak Dani dan adik beradik yang lain. Sarimah mahu Mak Ziah dan Pak Dani tinggal rumah
tersebut sementara menunggu Sarimah bersara
dan mereka boleh tinggal bersama di rumah itu nanti. Mak Ziah sungguh gembira ketika itu. Pak Dani lega kerena masalah rumah tersebut telah diselesaikan oleh Sarimah dan suaminya. Mereka merasakan bahawa Sarimah telah memenuhi harapan sebagai anak dan mengenang jasa kedua orang tuanya. Anak perempuan kesayangan mereka berdua. Itulah perasaan yang mereka rasa ketika itu. Namun kini...
Kalaulah bukan kerana kesempitan kewangan Syahir pada
satu ketika dahulu, rumah tersebut tidak akan dijual kepada suami Sarimah, Itu pun kerana Sarimah gagal menguruskan
pembelian rumah tersebut ke atas namanya. Maka untuk mengelakkan rumah tersebut
dilelong oleh bank, Sarimah menggunakan nama suaminya sebagai pembeli dan
membuat pinjaman kerajaan suaminya. Sebelum ini rumah tersebut
adalah rumah yang dibeli oleh Pak Dani bersama 4 orang lagi anak-anaknya
sebagai pemilik termasuklah nama Sarimah manakala hutang bank dibayar oleh Syahir
sejak rumah tersebut di beli. Namun apabila Syahir mengalami masalah dengan
pendapatannya, maka Syahir, Mak Ziah dan Pak Dani meminta Shah adik bongsunya
bersama isterinya Zaida tinggal bersama mereka dan membantu untuk membayar
hutang rumah tersebut kepada bank memandangkan pendapatan Zaida lebih tinggi
dan mampu menanggung pembayaran rumah tersebut kepada bank. Bukan semudah itu
Zaida menerima permintaan suaminya Shah. Zaida telah memikirkan
semasak-masaknya sebelum bersetuju.
Bagi Zaida, permintaan keluarga mertuanya sukar untuk
ditolak kerana melibatkan keluarga suaminya walaupun pada masa itu ayah Zaida
telah menasihati Zaida. Ayah Zaida Khuatir akan timbul masalah memandangkan
Zaida dan Shah baru sahaja mendirikan rumahtangga. Sebelum berkahwin dengan
Shah, Zaida tinggal di sebuah rumah yang disewa oleh Zaida sebelum mereka
berkahwin lagi. Setelah berkahwin, Zaida dan Shah tinggal di rumah tersebut
sehinggalah Syahir, Mak Ziah dan Pak Dani meminta mereka berdua tinggal
bersama-sama dari membazirkan wang untuk menyewa rumah lain sedangkan jarak
antara rumah mereka tidak jauh. Setidak-tidaknya dapat membantu abang iparnya Syahir
membayar hutang rumah tersebut. Apalah yang zaida boleh katakan apabila
suaminya meminta pertolongan. Zaida redha dengan keputusan suami dan mereka
berdua tinggal bersama-sama di rumah tersebut. Sejak itu Zaida membantu
menyelesaikan sebahagian besar bayaran bulanan rumah tersebut termasuklah sebahagian
dari bayaran cukai tanah, cukai pintu, bil elektrik dan bil air yang telah lama
tertunggak juga perbelanjaan dapur. Manakala abang iparnya mengeluarkan sebahagian
kecil bayaran yang selebihnya. Zaida menolong dengan ikhlas kerana ketika itu
keluarga suaminya dalam kesusahan. Tetapi Sarimah tidak pernah dapat
menghulurkan bantuan kerana Sarimah sering mengatakan pendapatan mereka berdua
suami isteri juga tidak mencukupi sehingga ke hujung bulan, Sampai ke satu
tahap syahir membuka suara supaya Zaida terus membeli rumah tersebut demi
menyelamatkannya dari di lelong. Oleh sebab itu Sarimah sangat marah. Zaida dan
Shah menjadi mangsa keadaan.
“Kau saja nak dengki dengan
aku kan?”. Sarimah menempelak Shah dari corong telifon.
“Apahal pulak ni nak
marah-marah orang tak tentu pasal! Bagi salam pun tidak”, Shah rasa tercabar
dengan kata-kata Sarimah.
“Macam mana pulak boleh
Zaida setuju nak beli rumah tu, kan dah tau aku yang nak beli rumah tu”.
“Aku mana tau, Syahir cakap,
mak dengan abah pun setuju. Dia ikut lah, kalau betul kau nak beli kenapa kau
tak beli-beli lagi sampai bank nak ambik balik. Kau nak mak dengan abah
merempat ke?”.
“Ah tak guna cakap dengan
kau ni”. Sarimah memutuskan talian.
“Kenapa bang?”. Zaida
bertanya kepada Shah. Hati Zaida risau dengan pertelingkahan Shah dan Kakaknya.
“Entah!”. Jawab Shah pendek.
Shah tidak mahu memanjangkan
lagi perbualan tersebut. Shah jenis kurang sabar. Jika dia sudah tidak boleh menahan
sabarnya, dia tidak kira lagi dengan siapa dia bercakap walaupun dengan
kakaknya sendiri. Sarimah pula, apabila dapat tahu sahaja bahawa mereka ingin
menjual rumah tersebut kepada Zaida, Tanpa usul periksa, Sarimah terus
menelifon Shah dan memarahi Shah serta menuduh Shah dan Zaida macam-macam.
Ketika itu Shah sedang menjaga Zaida yang terlantar sakit di Hospital. Zaida
mendapat sakit kerana terlalu kuat bekerja sehingga mengabaikan kesihatannya
sendiri. Walaupun Shah yang menerima panggilan telifon dari Sarimah tetapi
Sarimah tidak terus bercakap kepada Zaida. Namun Zaida dapat mendengar segala kata-kata
keji dan tohmahan Sarimah kepada Shah. Zaida kecewa kerana Sarimah membuat
andainya sendiri tanpa mendengar cerita sebenar. Zaida tidak mengharapkan pujian
dari Sarimah tetapi bukanlah kejian dan cacian yang sepatutnya keluar dari
mulut Sarimah, Segala kebaikkan yang Zaida berikan disalah erti oleh Sarimah. Sarimah
pula tidak mahu mendengar sebarang penjelasan pun. Sarimah hanya tahu menuduh Zaida
telah mencuri kasih sayang Mak Ziah dan Pak Dani darinya. Sarimah menuduh Zaida
memberi ubat guna-guna kepada Mak Ziah dan Pak Dani supaya menurut segala
kata-kata Zaida. Zaida sedih dan terkilan dengan kata-kata Sarimah. Zaida tidak
menyangka apa yang selama ini dikhuatiri oleh ayahnya menjadi kenyataan. Apalah
yang Zaida telah buat sehingga Sarimah benci sangat kepadanya. Kasih sayang
yang dicurahkan kepada kedua mertuanya ikhlas. Walaupun ketika itu Ibu Zaida
sedang sakit di kampung dan sangat memerlukan perhatian. Namun begitu ibunya
faham keadaan Zaida yang tinggal dengan mertua.
Zaida jarang dapat balik ke
kampung kerana tuntutan kerja. Apa yang boleh Zaida buat hanyalah dapat balik
sekejap dan menghulurkan wang untuk perbelanjaan keluarga di kampung. Zaida terima
dengan redha atas segala ketentuannya. Shah pula memang suami yang baik.
Apabila Sarimah menuduh Zaida memberi ubat guna-guna, Shah tetap mempertahankan
isterinya kerana Zaida adalah yang terbaik untuk dirinya. Zaida tidak perlu
semua perbuatan keji tersebut. Zaida juga tahu hukum hakam agama. Zaida tidak
akan melakukan perkara keji tersebut semata-mata untuk meraih kasih sayang
darinya. Lagipun tiada keuntungan kepada Zaida pun. Zaida memiliki segala kasih
sayang dari suaminya dan juga dari seluruh ahli keluarganya di kampung. Shah
sangat terhutang budi kepada Zaida kerana Zaida sanggup membantu keluarganya tatkala
rumah ayahnya hampir diambil balik oleh pihak bank. Shah juga tahu Zaida isteri
yang baik dan taat sehingga sanggup tinggal bersama orang tuanya tanpa
memikirkan risiko lain. Oleh kerana cemburu dan iri hati yang menebal, Sarimah
mengeji Zaida sebegitu rupa, Shah mengambil tanggungjawab untuk mempertahankan
isterinya.
“Orang ni anak mak bukannya
Zaida, dia menantu mak aje! Mak pilih kasih, mak lebih sayangkan dia dari orang”.
“Mana ada mak pilih kasih
mah, memanglah Zaida tu menantu mak. Dia dengan Shah yang duduk sini. Sakit pening
mak dia juga yang jaga. Engkau jauh kat sana, jarang dapat balik jenguk mak. Kalau
mak tak telifon tak adalah engkau nak tanya khabar mak ni”.
“Balik-balik Itu je yang mak
cakap. Mak tau kan orang sibuk, mana sempat nak telifon mak hari-hari. Nak
balik tiap-tiap minggu bukannya dekat. Kalau orang dekat dengan mak, orang pun
boleh jaga mak lebih baik dari Zaida tu. Orang taulah tu tapi tak payahlah mak
sayangkan dia lebih-lebih”.
“Tak ada lebihya sayang mak
pada dia, tak ada kurangnya sayang mak pada kau, sama macam dulu juga”.
“Orang ni nampak mak. Shah pun
satu, duduk sama dengan mak kenapa? Kan ke Zaida dah ada rumah sewa sebelum
nikah dulu. Duduk je lah rumah sewa tu. Saja nak susahkan mak”.
“Mak dengan abah yang suruh.
Abang Syahir kau dah tak sanggup nak hadap seorang bayar duit rumah ni dekat
bank. Gaji dia dah tak cukup nak tampung lagi jadi Zaida sahaja yang boleh
tolong bayarkan. Engkau dengan yang lain tak pernah hulur duit sikit pun tolong
bayar hutang rumah ni. Kalau tak bayar nanti rumah ni kena lelong pulak mana
mak dengan abah nak duduk”.
“Habis macam mana pulak
sampai Zaida nak beli rumah tu. Kalau nak tolong bayarkan, tolong aje lah tak
payahlah sampai nak beli rumah tu. Kan orang dah cakap orang yang nak ambik
rumah tu. Tunggulah gaji orang naik sikit baru orang ambik rumah tu. Shah tu
pun saja nak dengki dengan akak sendiri. Adik tak kenang budi”. Bentak Sarimah.
“Bukan Zaida yang nak beli
tapi Abang kau, Mak dengan abah yang suruh ambil alih rumah ni. Memanglah Abang
tau engkau yang nak ambil alih rumah ni tapi dah lama dia tunggu kau tak juga
uruskan sampai dia dah tak sanggup lagi nak membayar rumah ni sorang-sorang.
Kalau gaji dia macam dulu dia tak kisah tapi gaji dia dah tinggal sikit. Dia
dah banyak kali cakap bila lagi kau nak uruskan. Engkau pun tak cakap apa-apa
dengan dia. Jadi dia anggap kau tak jadi nak ambil alih rumah ni”.
“Dia yang tak sabar. Orang
dah kata nanti orang uruskan. Tunggu je lah”.
“Berapa lama lagi nak kena tunggu,
kalau rumah ni kena lelong mana mak dengan abah nak duduk”.
“Alah semua alasan bank je
mak, orang taulah macam mana nak uruskan nanti. Orang lagi takut bila Zaida
beli rumah tu nanti, dia mak dengan abah keluar dari rumah ni nanti. Masa tu
baru mak tau. Mak nak duduk mana nanti?”.
Terngiang-ngiang dalam kotak
fikiran Mak Ziah tentang kata-kata Sarimah. Dia tidak menyangka akhirnya kata-kata
yang Sarimah ucapkan telah di balikkan kepada Sarimah Semua. Sarimah yang halau
dia keluar dari rumah tersebut. Walaupun dari zahirnya Sarimah tidak pernah
menyebutnya secara terang terangan tetapi dari surat yang peguam hantar kepada
Syahir menyatakan segalanya. Apalah gunanya Sarimah belajar tinggi dan kerja
bagus. Apalah gunanya lagi harapan Mak Ziah kepada Sarimah. Mak Ziah kecewa dan
terkilan dengan Sarimah. Sekarang dia juga yang buat perkara yang Zaida tidak
pernah terfikir melakukannya. Halau dia keluar dari rumah yang menjadi kenangan
bersama arwah suaminya Pak Dani.
“Tak kan berani dia nak
balik sini lagi mak, tak usahlah kenang-kenang lagi Sarimah tu. Sekarang ni
orang fikir orang kena beli rumah lain. Masa dah tak banyak lagi dah ni.
Rasanya minggu depan kita kena juga pindah ke rumah Syaril dulu sementara orang
uruskan beli rumah lain”. Kata-kata Syahir mematahkan lamunan Mak Ziah.
“Ikutlah kau lah Syahir,
mana anak yang nak jaga mak nanti mak duduklah sana”.
‘Bila orang dah dapat beli
rumah orang sendiri nanti, mak duduklah dengan orang balik mak. Kalau sesekali
mak nak duduk rumah Shah ke rumah Syaril ke, mak pergilah. Orang tak kisah.
Nanti orang dapat beli rumah dulu mak. Gaji orang sekarang pun dah cukup nak
beli rumah. Orang tak nak beritahu Sarimah kat mana rumah orang tu mak. Orang
tak bagi Sarimah jejak rumah orang. Pandai-pandai Sarimahlah mana nak cari mak
lepas ni. Itupun kalau dia masih ingat yang dia ada mak lagi. Itupun Kalau dia
ingat nak cari mak”.
Mak Ziah diam seketika
menahan sedih. Tiada apa yang dia mahu lagi kecuali bersama arwah suaminya. Mak
Ziah akan menghabiskan masanya beribadah sehingga saat nyawa dijemput Pencipta.
“Kalau apa-apa terjadi pada
mak, mak sakit ke mak mati ke tak payahlah bagi tau pada Sarimah dah.
Biarkanlah dia. Mak tak nak dia tengok mak. Dia pun dah senang dengan suaminya.
Nak buat apa nak ingat pada mak yang dah tua yang selalu menyusahkan ni”. Akhirnya
Mak Ziah bersuara. Tutur kata Mak Ziah diiringi rasa pilu dan sebak. Perasaan
kecewa dan terkilan yang amat sangat menyelubungi seluruh jiwa Mak Ziah. Inilah
pesanan Mak Ziah kepada anak menantunya yang lain untuk Sarimah. Bagaimanalah
Sarimah jika dia tahu bahawa akhirnya inilah ucapan yang keluar dari mulut ibu
yang mengandungkan dan melahirkannya. Walaupun syurga seorang isteri pada suami
namun apalah gunanya menjadi seorang anak jika beginilah ucapan yang terpaksa
diluahkan oleh seorang ibu. Luahan ibu yang tidak mungkin meredakan penyesalan
sepanjang hidup Sarimah.
Langgan:
Catatan (Atom)